Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: IMedikel Pharma Holding Berhad (IMPHB) memfokuskan kepada satu manfaat bagi produk yang dikeluarkan.
Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan & Pemasaran Korporat IMedikel, Mohd Firdaus Mohamed Yusoff berkata, meskipun satu produk berpotensi memberi pelbagai manfaat, namun trend pengguna pada masa kini lebih cenderung kepada produk yang memfokuskan kepada satu manfaat sahaja.

“Pada masa sekarang, kita lebih fokus kepada satu produk yang boleh memberi satu hingga dua fungsi sahaja, kalau dahulu, satu produk boleh beri pelbagai manfaat kepada pelbagai jenis penyakit, contohnya, satu ubat boleh beri manfaat kepada penyakit kencing manis, darah tinggi tetapi sekarang, kita lebih fokus kepada satu produk untuk satu penyakit.
“Pengilang perlu hadapi situasi terbaru ini di mana kalau mereka perlukan satu produk yang fokus kepada satu manfaat, kita fokus kepada formulasi ke arah manfaat tersebut” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pemerkasaan OEM 2025, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden IMedikel, Hasnah Zakaria sebagai pembentang yang membincangkan tentang halatuju OEM.

Mohd Firdaus berkata, perubahan corak permintaan itu menuntut pengilang dan pengusaha industri untuk menyesuaikan strategi pembangunan produk agar kekal relevan dan berdaya saing.
Katanya, pendekatan tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan keyakinan pengguna terhadap sesuatu produk, malah turut memberi manfaat kepada usahawan yang ingin membangunkan produk sendiri secara lebih tersusun.
“Penyertaan IMedikel sebagai pempamer dalam acara ini membuka ruang kepada usahawan baharu untuk mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan pembangunan produk, formulasi serta hala tuju industri kesihatan dan OEM yang semakin berkembang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Majlis Amanah Rakyat Mara (MARA) Negeri Kelantan, Zahrail Affenday Mohamed berkata, sebanyak 18 pempamer daripada pelbagai industri pembuatan produk yang dibawakan pada program berkenaan.

“Kita percaya pada hari ini juga kita dapat bawa lebih banyak usahawan muda yang baharu, kita juga akan beri sokongan kepada usahawan baharu dari segi latihan keusahawan, bimbingan serta kemudahan pinjaman perniagaan,” katanya.
Dalam masa sama IMedikel tampil sebagai salah satu pempamer bagi program berkenaan dengan penekanan terhadap pentingnya penghasilan produk yang lebih fokus dan menepati kehendak pasaran semasa.
IMedikel TV






