Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mencatat sejarah baharu dalam perkhidmatan ortopedik negeri ini apabila melaksanakan pembedahan penggantian sendi lutut menggunakan teknologi robotik bagi kedua-dua belah lutut dalam satu sesi pembedahan (Robotic Asissted Bilateral Total Knee Replacement).
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Azman Yacob berkata, penggunaan sistem robotik ROSA itu membolehkan pembedahan dilakukan dengan ketepatan tinggi sekaligus mengurangkan ketidaksejajaran sendi yang sering menjadi cabaran dalam pembedahan konvensional.

“Peralihan kepada teknologi pembedahan robotik dijangka memberikan kelebihan tambahan kepada pesakit, termasuk ketepatan pembedahan yang lebih tinggi, pengurangan kesakitan selepas pembedahan serta tempoh pemulihan yang lebih singkat dan berkesan.
“Ketepatan ini dapat mengurangkan risiko ketidaksejajaran (malalignment) serta meminimumkan variasi hasil pembedahan antara operator.
“Selain itu pesakit juga berpotensi mengalami pendarahan dan trauma tisu yang minimum serta tempoh mobilisasi yang lebih awal berbanding kaedah pembedahan konvensional,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pembedahan Menggunakan Teknologi Robotik: Bilateral Total knee Replacement (Pembedahan Dua Lutut Serentak) Pertama di Negeri Kelantan, di HRPZ II, di sini, hari ini.
Hadir sama Pakar Perunding Kanan Ortopedik HRPZ II, Dr Mohd Yusof Ibrahim dan Pengarah HRPZ II, Dr Izamin Idris.
Jelasnya dengan adanya bantuan teknologi robotik termasuk pakar-pakar di HRPZ II, pembedahan itu dilakukan sekali sahaja dalam satu sesi yang sama iaitu pembedahan serentak di kedua-dua belah lutut kiri dan kanan.
“Biasanya pembedahan ini dilakukan secara berperingkat, namun di HRPZ II saya nasihatkan pesakit untuk melakukan pembedahan secara serentak.
“Kaedah ini mengurangkan pendedahan pesakit kepada bius kerana hanya sekali prosedur dilakukan,”katanya.
Menurut Dr Azman pembedahan menggunakan robotik itu mengambil masa satu jam setengah hingga dua jam untuk satu sendi.
Beliau berkata kelebihan pembedahan menggunakan robotik adalah pesakit digalakkan bergerak dalam tempoh 48 jam selepas pembedahan bagi mengelakkan pengecutan otot dan bagi memastikan sendi berfungsi dengan baik.
“Pesakit digalakkan untuk bergerak dalam tempoh 48 jam, tidak boleh duduk atau baring selama berminggu baru mula hendak berjalan.
“Kita bimbang otot akan mengalami pengecutan akibat terlalu lama tidak digunakan. Jadi selepas pembedahan memang perlu bergerak secepat mungkin,”katanya.
Beliau berkata dengan adanya bantuan teknologi robotik ROSA keluaran Amerika Syarikat yang bernilai RM3.5 juta itu membolehkan pihak hospital melaksanakan lebih banyak pembedahan pada masa akan datang.
Katanya setakat ini HRPZ II berjaya melaksanakan sekitar 150 pembedahan penggantian sendi setiap tahun.
IMedikel TV






