Home Hiburan KOSTUM DUYUNG DIKECAM, MAYA KARIN TAMPIL JELASKAN KONSEP

KOSTUM DUYUNG DIKECAM, MAYA KARIN TAMPIL JELASKAN KONSEP

258
0

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Maya Karin tampil memberikan penjelasan berhubung konsep dan rekaan kostum duyung yang digayakan dalam filem terbaharunya, Duyung: Lagenda Aurora, selepas ia dilabel segelintir netizen sebagai kelihatan ‘murah’.

Memetik laporan Berita harian, Maya, 46, berkata rekaan kostum yang diketengahkan dalam naskhah berkenaan dibuat dengan mengambil kira faktor keselesaan pelakon, selain dipersetujui bersama pengarah dan pihak produksi.

“Sebenarnya, untuk filem Duyung terdahulu (2008), warnanya lebih natural. Kostumnya juga sangat berat dan sukar dipakai.

“Namun, kali ini penerbit dan pihak produksi cuba memudahkan semua pihak, bukan sahaja pelakon, malah kru di sekeliling,” katanya.

Maya berkata, rekaan kostum kali ini turut disesuaikan dengan konsep visual yang lebih ceria bagi menghidupkan suasana dunia laut.

“Dalam filem ini, kami mahu menceriakan dan meningkatkan lagi warna-warna laut supaya seimbang dengan ikan, batu karang dan elemen lain,” katanya ditemui pada Malam Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37, Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Maya menegaskan filem arahan Prof Madya Datuk Dr A Razak Mohaideen itu tidak hanya menumpukan kepada aspek rekaan kostum, sebaliknya memberi penekanan kepada kualiti dan jalan cerita.

“Keistimewaan filem ini ialah duyung mempunyai kuasa mereka sendiri, boleh berjalan di bumi nyata dan juga berenang. Itulah kelainannya.

“Semoga apa yang bakal dipertontonkan nanti memberi kepuasan kepada penonton,” katanya.

Sebelum ini, segelintir pihak melontarkan tanggapan negatif selepas trailer filem berkenaan ditayangkan, mendakwa kostum duyung yang dipakai Maya dan seorang lagi pelakon, Anna Jobling, kelihatan kurang berkualiti.

Malah, ada yang membandingkan kostum itu dengan filem Duyung terdahulu yang dikatakan lebih realistik.

Duyung: Lagenda Aurora dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 25 Disember ini.

Filem itu menampilkan barisan pelakon antaranya Anna Jobling, Maya Karin, Saiful Apek, Ayie Floor 88, Yasmin Hani, Yassin Senario, Datuk Yusry Abdul Halim, Nadia Brian, Kumpulan Zero, Aniq Aqil dan Aidilia Hilda. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here