KUALA LUMPUR: Pelakon, Cristina Suzanne, menyatakan kesediaannya untuk melangkah ke pentas antarabangsa dan mencuba naskhah daripada mana-mana produksi luar negara sekiranya diberi peluang.
Memetik laporan Berita Harian, Cristina atau nama penuhnya Cristina Suzanne Stockstill, 40, berkata sepanjang lebih dua dekad dalam dunia lakonan, dia masih belum pernah menerima tawaran daripada produksi luar.
Namun, ia tidak menghalangnya untuk terus membuka ruang dan bersedia mencuba pengalaman baharu.
“Setakat ini saya belum pernah dapat tawaran daripada mana-mana produksi negara lain seperti Indonesia atau Thailand.
“Tapi mungkin suatu hari nanti tawaran itu akan ada, jadi saya kena berazam.
“Kalau ada tawaran, memang saya nak cuba sebab saya nak merasa budaya kerja di negara mereka,” katanya ketika ditemui pada sesi temu bual bersama selebriti dan tenaga pengajar TV Tuisyen di Balai Berita, Bangsar, kelmarin.
Pelakon filem Babah itu turut mengakui dirinya sanggup mempelajari bahasa asing demi memastikan mutu lakonannya lebih meyakinkan sekiranya diberi ruang beraksi di luar negara.
“Saya juga sanggup belajar bahasa mereka. Okey sahaja pada saya… sekurang-kurangnya ada kelainan dalam lakonan.
“Kalau kita pandai berbahasa asing, peluang kita untuk berkembang lebih cerah,” jelasnya.
Cristina juga tidak menafikan laluan untuk menembusi industri seni negara jiran bukan sesuatu yang mudah, terutama jika tidak mempunyai rangkaian kenalan atau sokongan produksi di sana.
“Contohnya kalau kita nak buat penggambaran di Jakarta atau Bangkok, kita perlukan seseorang yang dikenali atau ada hubungan kerja di sana.
“Itu akan memudahkan pengurusan dan melancarkan kerja,”ujarnya.
Dalam masa sama, ibu kepada seorang cahaya mata itu menjadikan pelakon prolifik, Bront Palarae, sebagai figura inspirasi yang berjaya mengembangkan bakat lakonan di Thailand dan Indonesia sambil mengekalkan reputasi cemerlang di tanah air. – BH Online –
IMedikel TV






