Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Polis sedang memburu tiga lelaki bertopeng yang melakukan samun berkumpulan bersenjata di sebuah kedai runcit di Kampung Tekor Ayer Merah, di sini, pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, kesemua suspek memasuki premis tersebut sebelum mengacukan senjata ke arah pekerja kedai.
“Ketiga-tiga suspek masuk ke kedai berkenaan dengan memakai penutup muka sebelum mengacukan senjata menyerupai pistol dan pisau ke arah pekerja kedai.
“Suspek kemudian meragut dua utas gelang tangan emas milik mangsa serta melarikan beberapa barangan kedai termasuk rokok, roti dan wang tunai kira-kira RM600. Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM3,800,”katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Jelasnya usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.
Katanya orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Bachok di talian 09-778 8222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
IMedikel TV






