Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TANAH MERAH: Sebanyak 172 pemborong dan peruncit di seluruh Kelantan dilantik bagi memastikan rantaian bekalan barangan asas mencukupi sepanjang musim banjir.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, berkata semua pemborong dan peruncit terbabit perlu menyimpan 30 peratus tambahan stok sepanjang November hingga Mac depan bagi menampung permintaan penduduk yang terjejas.

“Bekalan itu membabitkan 26 jenis barangan asas termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, telur serta petrol dan diesel.
“Kita memilih pemborong dan peruncit yang premisnya tidak mudah ditenggelami air serta mempunyai kemampuan menyimpan stok tambahan supaya penduduk di kawasan pedalaman tidak terputus bekalan sekiranya berlaku banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Program Kesiapsiagaan Menghadapi Musim Tengkujuh di Jajahan Jeli, di sini, hari ini.
Azman berkata, di Kota Bharu pihaknya melantik lima pemborong dan tujuh peruncit, manakala di Gua Musang sebanyak 12 peruncit dan 15 stesen minyak diberi kuota tambahan.
Tambahnya, semua stesen minyak di Kelantan turut menerima kuota tambahan mengikut keperluan kawasan masing-masing.
“Kita juga sudah mengaktifkan bilik gerakan banjir di Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang yang beroperasi setiap hari sehingga jam 10 malam.
“Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara dalam pengurusan bekalan barangan kepada penduduk yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata KPDN Kelantan turut melaksanakan sebanyak 94,208 pemeriksaan ke atas premis seluruh Kelantan sepanjang Januari hingga Oktober lepas.
“Selain itu, kita juga melakukan sebanyak 36,197 pemeriksaan kenderaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dengan 214 tangkapan melibatkan kes penyeludupan petrol, diesel dan minyak masak.
“Keseluruhan nilai sitaan adalah mencecah RM4.62 juta, termasuk 87,646 liter petrol, 35,598 liter diesel dan 42,625 kilogram minyak masak,” katanya.
IMedikel TV






