MEDAN: Lebih 300 orang dilaporkan terkorban dalam banjir dahsyat yang melanda Indonesia, Thailand dan Malaysia sejak beberapa hari lalu, kata pihak berkuasa, semalam.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, hujan lebat musim monsun bersama sistem ribut tropika menenggelamkan kawasan di tiga negara itu hingga memutuskan hubungan komuniti dan memaksa penduduk berlindung di atas bumbung.
Indonesia berdepan kesukaran memasuki kawasan paling teruk di Sumatera dan sebuah hospital di selatan Thailand terpaksa menggunakan trak sejuk beku selepas bilik mayat melebihi kapasiti.
Di Sumatera Barat, seorang wanita, Misniati, 53, menceritakan detik cemas berdepan air naik ketika cuba mencapai suaminya di rumah selepas pulang dari solat Subuh.
Ketua Agensi Mitigasi Bencana Negara (BNPB), Suharyanto berkata, angka itu dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat memasuki kawasan terpencil yang masih tidak dapat dicapai.
Dalam pada itu, jurucakap polis Sumatera Utara, Ferry Walintukan berkata, usaha tertumpu kepada pemindahan dan bantuan, namun akses serta komunikasi ke beberapa kawasan masih terputus.
Air surut di Aceh meninggalkan kenderaan tertimbus lumpur sehingga ke paras tingkap termasuk sebuah lori yang ditinggalkan tanpa pemandu.
Sementara itu, di Thailand pula, sekurang-kurangnya 145 maut di selatan negara itu, kebanyakannya di Songkhla, ketika banjir surut mendedahkan skala penuh bencana.
Susulan itu, Hospital Songklanagarind terpaksa menggunakan lebih banyak trak sejuk beku selepas bilik mayat tidak mampu menampung jumlah mayat.
Penduduk Hat Yai pula terpaksa diselamatkan dengan bot selepas air naik setinggi siling tingkat dua, selain berlaku insiden penjarahan sebuah kedai barangan am.
Bagaimanapun di Malaysia, dua orang maut susulan banjir yang menenggelamkan kawasan di Perlis selepas hujan lebat berterusan.
Penasihat perubahan iklim kepada Pusat Kajian Tadbir Urus dan Politik (Cent-GPS) di Malaysia, Renard Siew memaklumkan, cuaca ekstrem yang semakin buruk ketika ini selari dengan amaran saintis mengenai peningkatan suhu global. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






