Home Luar Negara BIL AIR LUAR BIASA TINGGI BONGKAR KEMATIAN PENGHUNI

BIL AIR LUAR BIASA TINGGI BONGKAR KEMATIAN PENGHUNI

TAICHUNG, Taiwan: Seorang wanita berusia 82 tahun ditemukan meninggal dunia di rumahnya selepas penggunaan airnya meningkat secara luar biasa melebihi 6,000 meter (m) padu dalam tempoh dua bulan, lapor MS News.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, difahamkan, mayatnya ditemukan dalam keadaan terurai, dipercayai kerana terbiar selama beberapa bulan.

Menurut Taiwan’s United Daily News, wanita yang dikenali sebagai Zeng itu, ditemukan oleh pihak berkuasa selepas sebuah syarikat air mengesan penggunaan air di kediaman itu, yang jumlahnya luar biasa.

Dalam tempoh dua bulan lalu, isi rumah itu menggunakan lebih daripada 6,000 m padu air, jumlah yang luar biasa sehingga mendorong siasatan.

Susulan itu, polis menemukan mayatnya di dalam rumah dengan keadaan badan dipercayai terurai teruk dengan beberapa bahagian hanya tinggal tulang sahaja.

Dalam pada itu, penyiasat kes berkata, pihaknya tidak menemukan sebarang tanda jenayah dalam kes itu.

Jelasnya, selepas menghubungi anak perempuannya, didapati anak itu tidak bercakap dengan ibunya selama lebih enam bulan dan dia tidak membantah terhadap dapatan awal siasatan.

Sementara itu, terdapat cadangan awal bahawa lonjakan penggunaan air berpunca daripada paip yang tidak ditutup, tetapi polis tidak menemukan air yang mengalir semasa mereka tiba di kediaman berkenaan.

Pihak berkuasa kini percaya penggunaan air yang berlebihan mungkin disebabkan paip yang tua atau rosak.

Susulan itu, Pejabat Pendakwa Daerah Taichung mengambil alih kes ini dan akan menjalankan bedah siasat untuk menentukan punca kematian. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here