Home Buletin Semasa WARGA EMAS KEMALANGAN DI PASIR PUTEH MENINGGAL DUNIA SELEPAS SEMINGGU DIRAWAT

WARGA EMAS KEMALANGAN DI PASIR PUTEH MENINGGAL DUNIA SELEPAS SEMINGGU DIRAWAT

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Seorang lelaki warga emas yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kampung Seligi berdekatan Tabika Sri Permai pada 16 November lalu disahkan meninggal dunia pagi semalam ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, kaunter aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Pasir Puteh menerima maklumat mengenai kematian mangsa pada jam 9.40 pagi daripada pihak hospital.

Menurutnya, kemalangan tersebut berlaku pada 16 November kira-kira jam 7.30 pagi membabitkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dan sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berumur 41 tahun.

“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Kampung Seligi menghala ke Klinik Banggol Pak Esah.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelasnya mangsa pada awalnya dibawa ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh sebelum dipindahkan ke HPUSM untuk rawatan susulan.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.05 pagi semalam akibat pendarahan di kepala.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Inspektor Aliah Syafinah Ani Sarudin di talian 013-6706156 atau hadir ke balai polis berhampiran.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here