SINGAPURA: Singapura mengusir seorang lelaki Australia selepas dia selesai menjalani hukuman penjara sembilan hari kerana menyerbu bintang filem, Ariana Grande ketika tayangan perdana Asia ‘Wicked: For Good’.
Menurut pihak berkuasa imigresen yang dipetik CNA, lelaki terbabit, Johnson Wen, dihantar pulang ke Australia dan dihalang memasuki semula Singapura.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, dalam kejadian pada 13 November lalu, Wen melompat penghadang dan meletakkan tangannya pada bahu Grande ketika malam pembukaan sekuel ‘Wicked’ yang dinanti ramai.
Dia ditahan beberapa jam selepas kejadian dan didakwa atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam.
Minggu lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan hari terhadapnya.
Difahamkan, video tular menunjukkan Wen memeluk bahu Grande yang kelihatan terkejut sebelum melompat-lompat dan melambai ke arah orang ramai.
Rakan pelakon Grande, Cynthia Erivo, kemudian bergegas melindunginya sebelum pengawal keselamatan menarik Wen dan meletakkannya kembali ke seberang penghadang.
Dalam pada itu, Hakim Daerah, Christopher Goh menyifatkan, Wen sebagai individu yang mencari perhatian ketika menjatuhkan hukuman.
Hakim berkata, Wen mempunyai corak tingkah laku serupa kerana dia didakwa pernah mengganggu acara sukan global dan konsert lain.
Hukuman yang diterimanya jauh lebih rendah daripada hukuman maksimum iaitu tiga bulan penjara, denda AS$1,500 (kira-kira RM6,230) atau kedua-duanya.
Di mahkamah, Wen mengakui dia silap apabila menyangka tindakannya tidak membawa akibat dan berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan itu.
Insiden itu bagaimanapun tidak menjejaskan tayangan perdana yang diteruskan dengan barisan pelakon mengelilingi Grande sebelum mereka meneruskan perjalanan di karpet kuning. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






