Home Buletin Semasa MALAYSIA TEGAS LINDUNGI YU DAN PARI : DOF LAKSANA KOMITMEN CITES UNTUK...

MALAYSIA TEGAS LINDUNGI YU DAN PARI : DOF LAKSANA KOMITMEN CITES UNTUK EKOSISTEM MARIN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengambil maklum serta menyambut baik laporan terkini Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dan TRAFFIC Asia Tenggara yang menilai skala perdagangan dalam talian bagi produk berasaskan yu dan pari di Malaysia.

Penemuan seperti yang dilaporkan memberikan gambaran penting mengenai corak perdagangan semasa, sekali gus membantu negara memperkukuh langkah pemuliharaan dan kawal selia terhadap kumpulan spesies marin yang semakin terdedah kepada ancaman eksploitasi.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain, menegaskan bahawa DOF memandang serius dapatan tersebut dan menghargai kerjasama berterusan dengan organisasi seperti WWF dan TRAFFIC dalam meningkatkan ketelusan maklumat, kesedaran awam serta kefahaman terhadap keperluan melindungi spesies berisiko tinggi.

“DOF sedang meneliti semula pendekatan pengurusan semasa termasuk pengukuhan operasi pemantauan, semakan semula dasar, serta pemantapan mekanisme penguatkuasaan yang lebih berkesan di peringkat lapangan

“Malaysia sebagai Negara Pihak kepada Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) melaksanakan tanggungjawab untuk mengawal perdagangan antarabangsa bagi spesies terancam, termasuk beberapa spesies yu dan pari.

“DOF secara rutin melaksanakan pengesahan permit CITES, pemeriksaan identiti spesies dan kolaborasi rapat dengan agensi penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan pematuhan kepada standard antarabangsa,”menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengurusan itu disokong data saintifik, pemantauan pendaratan dan analisis populasi bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara berasas dan lestari.

Jelasnya dalam konteks perundangan domestik, beberapa spesies yu dan pari dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985, termasuk Great Hammerhead (Sphyrna mokarran), Scalloped Hammerhead (Sphyrna lewini), Smooth Hammerhead (Sphyrna zygaena), Oceanic Whitetip Shark (Carcharhinus longimanus) serta pari manta seperti Giant Manta Ray (Mobula birostris) dan Reef Manta Ray (Mobula alfredi).

“Yu dan pari memainkan peranan penting sebagai pemangsa puncak dalam keseimbangan ekosistem marin. DOF komited memastikan perdagangan produk marin yang melibatkan spesies terancam dikawal dengan lebih ketat dan mengikut kerangka undang-undang serta piawaian antarabangsa.

“Kerjasama erat antara kerajaan, industri, komuniti nelayan dan organisasi bukan kerajaan seperti WWF dan TRAFFIC adalah kunci bagi memastikan pengurusan sumber marin kita kekal mampan,”jelasnya.

DOF akan terus memperkukuh tindakan bersepadu melalui penambahbaikan mekanisme pemantauan, peningkatan kapasiti agensi berkaitan, pengukuhan pendidikan awam serta penyediaan data saintifik yang komprehensif.

“Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen DOF untuk memastikan sumber perikanan negara kekal lestari serta terpelihara untuk kesejahteraan generasi masa depan,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here