Home Hiburan ANIQ SUHAIR HAMPIR ‘BURNOUT’ AKIBAT TEKANAN KERJA

ANIQ SUHAIR HAMPIR ‘BURNOUT’ AKIBAT TEKANAN KERJA

KUALA LUMPUR: Meski berdepan fasa hampir ‘burnout’ akibat melunaskan pelbagai komitmen dalam satu masa, pelakon, Aniq Suhair, 25, menegaskan tidak pernah terlintas di hati untuk meninggalkan dunia lakonan yang sudah diceburinya sejak lima tahun lalu.

Memetik laporan Berita Harian, Aniq atau nama sebenar, Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh, berkata lakonan tetap menjadi nadi dan minat utamanya, namun dia perlu lebih bijak menyusun jadual seiring tanggungjawab baharu, termasuk perniagaan.

“Sekarang saya ada komitmen lain seperti perniagaan kecil-kecilan. Jadi saya cuba bahagikan masa antara kerja, minat dan hobi.

“Sebenarnya saya hampir ‘burnout’ sebab buat dua, tiga kerja dalam satu masa. Tapi bila fikir balik, inilah realiti seorang pelakon.

“Namun, sampai tahap nak berhenti berlakon itu tidaklah,” katanya pada pelancaran filem terbaharu lakonannya, Zero, di Pavilion Bukit Bintang, Isnin lalu.

Mengulas cara sendiri menangani keletihan mental, bekas peserta Hero Remaja 2019/2020 itu berkata, dia memilih untuk berehat seketika daripada media sosial dan kembali kepada aktiviti yang dekat dengan jiwanya.

“Apabila rasa hampir ‘burnout’, saya berehat dua hingga empat bulan sampai benar-benar bersedia.

“Dalam tempoh itu, saya buat apa yang saya suka. Saya minat alam semula jadi, jadi saya akan mendaki gunung atau ke pantai. Walaupun saya tak kongsi di media sosial, itulah rutin sebenar saya,” katanya.

Aniq turut berharap orang ramai tidak memaksa diri bekerja secara berlebihan hingga menjejaskan kesihatan.

“Bila saya bandingkan diri saya dengan mereka di luar sana yang buat dua, tiga pekerjaan serentak, saya semakin faham situasi mereka. Mereka sebenarnya lebih ‘burnout’.

“Jangan paksa diri jika sudah mula rasa tak larat. Kesihatan sangat penting,” pesannya.

Ditanya soal pemilihan tawaran lakonan, Aniq berkata, dia tidak memilih genre atau platform, sebaliknya bergantung kepada kesesuaian masa dan watak.

“Apa sahaja tawaran yang datang adalah rezeki. Cuma saya lihat pada masa, jika produksi boleh ikut jadual saya, insya-Allah saya boleh,” katanya.

Aniq kini bersiap memulakan penggambaran filem aksi Zero arahan Andre Chiew yang dijadualkan bermula awal Disember.

Filem yang mengetengahkan isu sindiket penjualan organ itu turut menampilkan Hun Haqeem, Fabian Loo, Harissa Adlynn, Iedil Dzuhrie Alaudin, Tony Eusoff, Zed Zaidi dan ramai lagi. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here