Home Buletin Semasa LANGKAH TEGAS PERKUKUH KONSERVASI BIODIVERSITI MARIN DAN KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA

LANGKAH TEGAS PERKUKUH KONSERVASI BIODIVERSITI MARIN DAN KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), melalui Mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Taman Laut dan Rizab Laut (MPKTLRL) membuat keputusan penting mewajibkan semua pengunjung Taman Laut Malaysia untuk membawa pulang sampah masing-masing ke darat bermula 1 Januari tahun hadapan.

Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak berkata, keputusan itu menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam melindungi biodiversiti marin negara.

“Pencemaran plastik bukan sahaja mengancam hidupan laut, malah memberi kesan langsung kepada rantaian makanan dan kesejahteraan rakyat. Dengan sokongan semua pihak, usaha pemeliharaan dapat diperkukuh bagi memastikan Taman Laut Malaysia kekal terpelihara untuk generasi akan datang.

“Dengan pelaksanaan keputusan Majlis, pengukuhan inisiatif konservasi melalui EFT, serta sokongan menyeluruh semua pemegang taruh, usaha memelihara ekosistem marin negara dapat dipertingkatkan.

“Langkah ini adalah komponen utama dalam memastikan keterjaminan makanan negara, kelestarian biodiversiti marin dan kesejahteraan generasi masa hadapan,”katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata langkah itu adalah tindakan strategik kerajaan bagi mengurangkan pencemaran marin, khususnya sisa plastik yang dikenal pasti sebagai ancaman terbesar kepada ekosistem laut.

“Pencemaran plastik menyebabkan kerosakan terumbu karang, kematian hidupan marin serta peningkatan mikroplastik yang akhirnya memberi kesan kepada kesihatan manusia dan keterjaminan makanan negara.

“Ketetapan baharu ini menegaskan komitmen negara dalam memastikan kawasan perlindungan marin kekal bersih, sihat dan lestari,”katanya.

Sehubungan itu, KPKM menyeru pengusaha bot, pusat selaman, pemandu pelancong, komuniti setempat dan industri pelancongan untuk bersama-sama menjayakan kempen “Bawa Pulang Sampah Anda”.

Kerjasama kolektif semua pihak amat penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman pencemaran plastik serta kepentingan memelihara sumber makanan negara

Ketetapan itu turut disokong wakil Kerajaan Negeri Kedah, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam pemuliharaan marin

KPKM menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri memberikan penekanan khusus terhadap aspek konservasi marin dalam mempertimbangkan agihan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) yang diterima melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

“Peruntukan berkenaan wajar disalurkan secara fokus kepada inisiatif pemuliharaan berimpak tinggi yang menyokong pelaksanaan Kawasan Perlindungan Marin (MPA) di peringkat negeri.

“Pendekatan ini penting bagi membantu negara mencapai sasaran 10 peratus liputan MPA, selaras dengan agenda konservasi nasional dan antarabangsa,”menurut kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here