Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengingatkan semua Ketua Polis Daerah di negeri ini agar bersiap siaga sepanjang fasa Monsun Timur Laut (MTL).
“Kita kini berada dalam fasa MTL, satu tempoh di mana hujan lebat berterusan meningkatkan risiko banjir di seluruh negeri.
“Justeru, semua Ketua Polis Daerah perlu bersiap siaga, peka sepenuhnya, dan bertindak proaktif menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
“Langkah bijak di kala tenang, menyelamatkan nyawa di kala genting,”katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Beliau menegaskan bahawa setiap langkah pencegahan serta keselamatan awam perlu dilaksanakan secara tegas dan teratur termasuk proses pemindahan awal sekiranya keadaan memerlukan.
“Proses pemindahan penduduk perlu dilakukan lebih awal jika perlu, bagi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjamin.
“Penduduk yang tinggal di kawasan yang sering terdedah kepada risiko banjir mesti diberikan amaran awal dan arahan bersiap sedia, kerana nyawa jauh lebih berharga daripada harta benda,”katanya.
Jelasnya, setiap daerah mesti menjadi benteng keselamatan, menjalankan operasi dengan keberkesanan maksimum bagi memastikan risiko kerugian harta benda dan nyawa dapat diminimumkan sepenuhnya.
“Ingatlah, apa yang kita lakukan hari ini adalah persediaan untuk menangkis bahaya esok, dan kesiapsiagaan kita adalah perisai yang melindungi setiap nyawa,”katanya.
IMedikel TV






