Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes samun membabitkan premis pakaian terpakai pada 10 November lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata lelaki berumur 43 tahun itu ditahan sepasukan polis selepas melakukan serbuan di sebuah rumah di Pengakalan Chepa, di sini, kira-kira jam 7.05 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati suspek tersebut juga melakukan empat lagi kes samun di sekitar Kota Bharu.
“Modus operandi suspek adalah dengan melakukan samun di kedai-kedai perniagaan dan mengacukan senjata bagi menakutkan mangsa,”katanya.
Menurutnya susulan penahanan lelaki itu, polis merampas dua buah motosikal, sepucuk pistol tiruan, 12 biji pil kemerahan disyaki dadah, tiga topi keledar, seutas jam tangan, dua beg sandang, sepasang kasut, selipar dan sarung tangan serta dua pelitup muka.
Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.
“Suspek turut mempunyai empat rekod lampau berkaitan narkotik,”katanya.
Jelasnya, suspek melakukan kegiatan itu secara individu sejak dua bulan lalu.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun) yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang daripada empat tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta denda atau sebatan.
“Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1953 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya dan Seksyen 15(1) Akta dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,”katanya.
IMedikel TV






