Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor melaksanakan pemindahan 331 tahanan dari pelbagai warganegara ke negara asal masing-masing sepanjang minggu kedua bulan November tahun ini.
JIM dalam kenyataan semalam memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 292 tahanan adalah warganegara Indonesia, diikuti 21 warganegara Myanmar, sembilan warganegara Pakistan, lima warganegara Kemboja dan empat warganegara Laos.
“Semua tahanan dipindahkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA 1 dan KLIA 2, Terminal Feri Stulang Laut serta Terminal Feri Pasir Gudang.
“Kesemua tahanan memiliki pasport yang sah, manakala sebahagian daripada mereka telah dikeluarkan dokumen perjalanan sementara atau “Emergency Travel Document” oleh kedutaan masing-masing bagi tujuan pemindahan pulang,”menurut kenyataan itu.
JIM Johor menjelaskan bahawa pemindahan tahanan merupakan aktiviti utama yang giat dilaksanakan secara berterusan oleh Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas (DIPN), bagi memastikan tiada lambakan tahanan yang sudah selesai menjalani hukuman terus berada di negara ini.
Jelas kenyataan itu urusan membabitkan penghantaran pulang seperti pembelian tiket dan sebagainya boleh dilakukan di Kaunter Perkhidmatan yang disediakan di depot tersebut, dan tiada sebarang caj perkhidmatan dikenakan.
Sebarang pertanyaan boleh dibuat terus kepada Unit Rekod dan Pemindahan DIPN di talian 07-6993540.
IMedikel TV






