Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang pemilik kilang ais di Kelantan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat sambungan air secara haram bagi operasi pemprosesan ais batu di premisnya, di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, di sini, pada Jun 2018.
Mohamad Yusrid Mohd Yusof, 34, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Yusrid sebagai penghuni di tapak kilang berkenaan melakukan perbuatan menyalahi undang undang dengan membuat sambungan ke paip air tanpa kebenaran pemegang lesen iaitu Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini pada 7 Jun 2018.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suhaidariah Ahmad dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Suhaidariah memohon hukuman setimpal memandangkan kes berkenaan adalah serius, manakala orang kena saman (OKS) memohon supaya denda minimum dikenakan terhadapnya.
Suhaidariah berkata kesalahan berlaku selama 17 bulan dan mengakibatkan kerugian air kepada AKSB dianggarkan sebanyak RM41,337.20.
“Peningkatan peratusan air tidak terhasil (NRW) akan mengakibatkan AKSB mengalami masalah kekurangan daripada segi modal untuk menambah baik infrastruktur sistem bekalan air terutamanya bagi kerja-kerja penyelenggaraan paip-paip usang.
“Justeru denda yang setimpal perlu dikenakan memandangkan OKS seorang yang mampu, selain selaku pemilik tunggal kilang berkenaan,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda tersebut dan memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayarnya.
IMedikel TV






