Home Buletin Semasa MAKIN MELAMPAU, MACAM DI KELAB MALAM – USTAZAH ASMA’ HARUN

MAKIN MELAMPAU, MACAM DI KELAB MALAM – USTAZAH ASMA’ HARUN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun secara terbuka menegur kumpulan pop sensasi, Dolla, susulan video muzik terbaharu mereka yang disifatkan semakin keterlaluan dan melampau.

Menurut perkongsian Asma’ di laman Facebooknya, beliau berharap sekiranya ada lagu terbaru dari kumpulan itu, penampilan mereka lebih sopan dan bermaruah.

“Mungkin kali ini lebih sopan, mungkin kali ini lebih bermaruah. Jujurnya saya tak pernah ikuti atau tengok, tapi ada sahaja sesiapa berikan link untuk diusahakan sesuatu,”tulisnya dalam perkongsian itu semalam.

Bagaimanapun menurut beliau ia menunjukkan semakin lama semakin parah dan semakin terbuka.

“Makin lama makin parah, makin terbuka sana sini, makin ghairah, makin memalukan. Apa yang dipertontonkan bukan lagi satu Seni hiburan, Ia sudah sampai satu tahap pertunjukan dalam laman gelap atau club tapi secara terangan atas nama seni!

“Pakaian ketat melekat, singkat terbuka melampau, gerakan mengiurkan semuanya dipakejkan sebagai satu seni lagu,”tegasnya.

Paling menyedihkan, menurut beliau salah seorang anggotanya adalah wanita Islam.

“Walau yang bukan Islam sekalipun, anda tetap bawa imej Negara Malaysia yang berpegang pada Rukun Negara ke-5 iaitu kesopanan dan kesusilaan.

“Seni apa yang dibina di atas aksi memalukan begini ? Kemajuan apa yang dibina di atas dosa ? Kemodenan apa yang dibina di atas runtuhnya rasa malu ?

“Bagi saya videonya amat tidak bermoral, memalukan wanita Islam, memalukan negara yang namanya Malaysia, negara Islam. Lebih perit… ada orang yang mempertahankan dengan pujian dan rasa bangga,”jelasnya.

Beliau meluahkan pendapatnya itu di Facebook pada Jumaat.

Jelasnya bahana bukan hanya pada videonya, tetapi pada falsafah hidup yang diserap kepada anak muda tanpa sedar.

Katanya Malaysia perlukan hiburan yang bersih, yang menjaga nilai, yang membina manusia bukan meruntuhkannya.

“Ini bukan kempen benci. Ini kempen sedarkan diri. Kalau budaya salah berhenti disokong, budaya itu akan mati. Kalau budaya itu berubah, masyarakat pun berubah.

“Semoga Allah SWT menjaga Malaysia daripada hilangnya rasa malu dan kembalikan kita kepada hiburan yang lebih sopan, terdidik, berkat dan diredhai,”katanya.

Rata-rata komen menyokong tindakan Asma’ menegur kumpulan tersebut secara terbuka.

IMedikel TV

.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here