Home Hiburan SYAZWAN RAZAK RIMAS DIBANDINGKAN DENGAN SYAFIQ KYLE

SYAZWAN RAZAK RIMAS DIBANDINGKAN DENGAN SYAFIQ KYLE

KUALA LUMPUR: Pelakon baharu, Syazwan Razak mengakui ada kalanya berasa penat berdepan dengan netizen yang gemar membandingkan dirinya dengan abangnya yang juga pelakon popular, Syafiq Kyle.

Memetik laporan Berita Harian, namun, pelakon berusia 26 tahun ini enggan membiarkan komen negatif mematahkan semangat, sebaliknya menjadikan perbandingan itu sebagai dorongan untuk berusaha lebih keras dalam mengukuhkan nama sendiri.

“Perbandingan itu memang sudah lama berlaku. Orang akan sentiasa membandingkan saya dengan abang, bukan sekarang sahaja.

“Namun, saya percaya setiap individu ada cara dan kekuatan tersendiri. Dalam industri pun ramai pasangan adik-beradik yang sama-sama berlakon, dan lama-kelamaan penonton akan nampak perbezaannya,” katanya ditemui pada sidang media drama BF Green Flag di Studio Village, Kampung Malaysia Tambahan, di sini, baru-baru ini.

Menurut Syazwan atau nama penuhnya Mohamad Syazwan Emir Abdul Razak, dia tidak menafikan kadangkala rasa letih apabila terus dibandingkan, tetapi enggan melihat perkara itu sebagai beban.

“Tipulah kalau saya kata tidak penat. Tapi saya ambil semua itu sebagai pembakar semangat untuk saya belajar dan berikan lebih daripada apa yang abang saya lakukan.

“Saya bukan mahu bersaing dengan dia, cuma saya mahu mencipta identiti sendiri dalam bidang lakonan,” ujarnya.

Meniti perjalanan awal dalam dunia lakonan, Syazwan mengakui banyak yang perlu dipelajari.

Namun, dia bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar dan sokongan berterusan daripada Syafiq dan Mimi Lana, yang juga kakak iparnya.

“Abang dan kakak ipar banyak berkongsi pengalaman. Mereka tidak pernah mengkritik keras, sebaliknya beri panduan dan nasihat yang membina.

“Abang selalu cakap, dia pun pernah berada di tempat saya dulu, jadi dia faham perasaan seorang pelakon baharu yang sedang belajar,” ujarnya.

Syazwan berkata, dia tidak mahu menjadikan Syafiq sebagai penanda aras atau meniru gaya lakonan abangnya kerana percaya setiap pelakon mempunyai pendekatan tersendiri.

“Saya tidak mahu ikut metod lakonan abang. Dia ada cara sendiri, saya pun ada cara saya.

“Orang akan nampak perbezaannya nanti. Saya tidak boleh halang mereka daripada membandingkan kami, tapi saya mahu mereka lihat saya atas hasil kerja saya sendiri,” katanya.

Berkat kesungguhan dan semangatnya, Syazwan bersyukur apabila mendapat kepercayaan daripada pihak produksi untuk membawakan peranan utama sebagai Alfa dalam siri original pertama terbitan MYTV Originals berjudul BF Green Flag.

Siri 20 episod berdurasi tujuh minit setiap episod itu mula ditayangkan di platform MYTV bermula 13 November lalu. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here