LONDON: Seorang warga China digelar polis London sebagai pesalah seks paling prolifik yang pernah disiasat kini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku melakukan siri kes rogol, serangan seksual dan mengintip enam wanita.
Memetik laporan Reters menerusi Berita Harian, polis berkata Chao Xu, 33, menggunakan kedudukannya dalam rangkaian universiti dan profesional untuk menyasarkan wanita, meraih kepercayaan mereka sebelum memberinya dadah dan merogol beberapa mangsa.
Detektif percaya ratusan lagi mungkin menjadi mangsa aktiviti sumbang suspek, sama ada di Britain atau China.
“Chao Xu adalah antara pesalah seksual paling berbahaya dan prolifik yang pernah kami temui.
“Jenayahnya dirancang, berterusan dan memusnahkan, merentasi tahun demi tahun dan meninggalkan kesan yang tidak terbayang,” kata Detektif Superintendan Lewis Sanderson.
Perbuatannya terbongkar selepas dia menyerang salah seorang mangsa di acara jaringan profesional yang diadakannya di rumahnya di tenggara London.
Dia memberi dadah kepada mangsa tetapi wanita berkenaan mampu mengingati sebahagian kejadian, termasuk Xu merakamnya menggunakan telefon, apabila dia sedar semula.
Mangsa kemudian menghubungi polis dan Xu ditahan.
Bukti yang ditemui pada telefonnya menunjukkan dia memberi dadah dan merogol wanita ketika mereka tidak sedarkan diri, manakala pegawai menemui kamera rahsia di seluruh rumahnya serta ribuan imej dan video dalam peranti miliknya.
Xu mengaku bersalah di Mahkamah Crown Woolwich terhadap empat pertuduhan rogol, lapan pertuduhan serangan melalui penembusan, empat pertuduhan serangan seksual, dua pertuduhan memberikan bahan dengan niat, empat pertuduhan voyeurisme, dan dua pertuduhan merakam bawah skirt (upskirting).
Dia akan menjalani hukuman penjara sekurang-kurangnya 14 tahun selepas mengaku bersalah terhadap 24 pertuduhan membabitkan enam wanita.
Detektif berkata mereka masih meneliti bukti digital yang diperoleh daripada perantinya, termasuk enam juta mesej WeChat serta ribuan imej dan video, yang mungkin membawa kepada mangsa-mangsa lain. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






