Home Buletin Semasa DUA SAHABAT MENGAKU TIDAK BERSALAH ROMPAKAN SENJATA PEMILIK BUTIK PAKAIAN WANITA

DUA SAHABAT MENGAKU TIDAK BERSALAH ROMPAKAN SENJATA PEMILIK BUTIK PAKAIAN WANITA

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjata parang terhadap seorang pemilik butik pakaian wanita di Wakaf Che Yeh, di sini, pada 18 September lalu.

Mohammad Faisal Mohamed Raffei, 36 dan Muhammad Farif Izuan Ghazali, 32 membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki berkenaan didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersenjata parang ke atas pemilik butik pakaian berusia 27 tahun di Wakaf Che Yeh, di sini, pada 4.10 petang, 18 September lalu.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama, yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan peguam, Mohd Firdaus Zainal Abidin mewakili Muhammad Farif Izuan, manakala Mohammad Faisal tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kamarul Hasyime mencadangkan jaminan RM25,000 dengan dua penjamin terhadap kedua-dua tertuduh.

Mohd Firdaus memohon rayuan bagi pertimbangkan jaminan yang difikirkan munasabah untuk anak guamnya.

“Anak guam saya bekerja sebagai penjual sayur-sayuran di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong dengan pendapatan RM50 sehari dan merupakan seorang duda yang menjaga sepenuhnya dua anak berusia tiga dan enam tahun.

“Buat sementara ini, dua anaknya dijaga sementara waktu oleh datuk dan nenek mereka yang masing-masing berusia 62 dan 65 tahun,” katanya.

Mahkamah tidak membenarkan Mohammad Faisal yang bekerja sebagai buruh diikat jamin, manakala Muhammad Farif Izuan diberi jaminan RM15,000 dengan dua penjamin termasuk syarat tambahan iaitu perlu melapor diri setiap Ahad setiap bulan di balai polis terdekat.

Mahkamah menetapkan 11 Disember depan untuk sebutan semula kes.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here