Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis menahan sebuah treler membawa muatan kira-kira 40 tan beras putih bernilai RM350,050 hasil operasi bersepadu di Jalan Kota Bharu-Gua Musang, malam tadi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, rampasan itu dilakukan selepas pihaknya menahan sebuah treler dalam keadaan mencurigakan berhampiran simpang Taman Perisai Wira, Kuala Krai kira-kira jam 8.00 malam.
Operasi Bersepadu Taring Wawasan membabitkan kerjasama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Kelantan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai.
”Hasil pemeriksaan menemui kira-kira 40 tan beras putih yang dibawa tanpa sebarang dokumen sah.
”Pemandu lori, seorang lelaki tempatan turut ditahan, manakala kenderaan bersama keseluruhan muatan turut dirampas untuk tindakan lanjut,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM350,050 dan kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1964 dan dirujuk kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.
Katanya beras tersebut dipercayai dibawa secara runcit dari sempadan dan dimuat di dalam treler untuk dibawa ke Kuala Lumpur.
Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyalahgunaan, penyelewengan atau pemindahan beras tanpa kebenaran yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan makanan negara.
”Kerjasama orang ramai amat dihargai dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan bahan makanan bersubsidi,”katanya.
IMedikel TV






