Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Tok Uban, Pasir Mas, di sini, pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mazlan Hassan berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 12.10 tengah malam dan membabitkan sebuah motosikal serta sebuah kereta.
“Kedua-dua mangsa dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan dari arah belakang yang kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng, seorang lelaki berumur 25 tahun, menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tanah Merah,”katanya dalam kenyataan semalam.
Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, pihak polis memohon bantuan orang ramai termasuk pemilik dashcam kenderaan yang melihat atau merakam kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
“Mereka yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Edemetro Aling di talian 012-8223619 atau hadir ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas,”katanya.
IMedikel TV






