KUALA LUMPUR: Imanol Machuca masih mendapat sokongan penuh daripada kelabnya, Velez Sarsfield walaupun dia sedang berdepan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Memetik laporan Berita Harian, malah, kelab berkenaan juga dilaporkan akan terus membayar gaji Machuca sementara menunggu keputusan akhir rayuan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan pemain warisan Harimau Malaya itu.
Berdasarkan laporan Sabado Velez iaitu media yang rapat dengan kelab itu, Velez Sarsfield akan menangguhkan sebarang keputusan muktamad mengenai masa depan Machuca sehingga semua proses rayuan selesai.
“Velez akan menunggu sehingga proses rayuan terakhir sebelum membuat keputusan mengenai Imanol Machuca.
“Penyerang itu masih berpeluang membawa kesnya ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan kelab akan kekal berpendirian neutral seperti sebelum ini sehingga semua peluang rayuan pemain itu tamat.
“Apabila tiada lagi peluang untuk merayu dan hukuman sudah muktamad, Velez akan bertindak dan menilai langkah atau tindakan yang perlu diambil,” kata Sabado Velez di laman Facebook mereka.
Sementara itu, kelabnya dikatakan akan terus membayar gaji pemain itu bagi mengelakkan masalah pada masa hadapan.
Dilaporkan juga bahawa penyerang berusia 25 tahun itu yang dipinjamkan daripada kelab Brazil Fortaleza, mempunyai baki kontrak kurang daripada dua bulan bersama Velez.
Machuca bersama enam lagi pemain warisan Harimau Malaya termasuk Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dikenakan penggantungan 12 bulan dan denda sebanyak 2,000 franc Swiss (RM10,580) atas dakwaan pemalsuan dokumen.
Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 November lalu mengumumkan menolak rayuan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain terbabit, sekali gus menyaksikan hukuman itu kekal.
Machuca boleh dianggap bernasib baik kerana tidak semua tujuh pemain itu mendapat sokongan yang sama daripada kelab mereka dengan penyerang Holgado dilaporkan tidak menerima gaji dan berdepan risiko penamatan kontrak daripada America de Cali.
Malang buat Palmero apabila dia sebelum ini dilaporkan sudah ditamatkan kontrak oleh kelabnya, CD Tenerife dan Unionistas (pinjaman) susulan daripada kes berkenaan. – BH Online –
IMedikel TV






