WASHINGTON: Syria kini menyertai pakatan antarabangsa yang diketuai Amerika Syarikat (AS) bagi memerangi kumpulan militan Negara Islam (IS), menurut seorang pegawai AS, beberapa jam selepas Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa mengadakan pertemuan bersejarah dengan Donald Trump di Rumah Putih.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, “Semasa lawatan itu, Syria mengumumkan penyertaannya dalam Global Coalition to Defeat ISIS,” kata pegawai kanan pentadbiran AS itu, menjadikan Syria anggota ke-90 pakatan berkenaan dan “rakan kerjasama AS dalam usaha menumpaskan saki-baki IS serta menghentikan kemasukan pejuang asing.
“Pegawai itu menambah bahawa AS turut membenarkan Syria menyambung semula operasi kedutaannya di Washington bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan, antikeganasan dan ekonomi.
Sementara itu, Menteri Luar Syria, Asaad al-Shaibani juga mengumumkan bahawa AS telah menarik balik semua langkah perundangan yang sebelum ini dikenakan terhadap misi diplomatik dan kedutaan Syria di Washington, sekali gus memulihkan keupayaan Syria untuk beroperasi secara diplomatik di Amerika, lapor Anadolu Ajansi.
“Kami telah menerima keputusan rasmi ditandatangani oleh rakan saya, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, yang memansuhkan semua tindakan undang-undang yang sebelum ini dikenakan terhadap misi dan Kedutaan Syria oleh Amerika Syarikat,” kata al-Shaibani menerusi platform X.
Beliau juga berkata bahawa langkah itu menandakan kembalinya “keupayaan Syria untuk melaksanakan peranan diplomatiknya di AS dengan bebas, selaras dengan pelan strategik Kementerian Luar Syria.”
Langkah berkenaan dibuat susulan lawatan bersejarah al-Sharaa ke Rumah Putih, yang menyaksikan pertemuan beliau dengan Trump, Setiausaha Negara, Marco Rubio dan Naib Presiden, JD Vance, menandakan lawatan pertama seorang presiden Syria ke Amerika Syarikat dalam tempoh beberapa dekad
Sekatan undang-undang Amerika terhadap kedutaan Syria di Washington bermula pada Mac 2014, apabila pentadbiran Barrack Obama mengarahkan penggantungan semua operasi diplomatik dan konsular kedutaan itu, atas alasan Syria gagal bekerjasama dengan pihak berkuasa AS serta perang saudara yang semakin memuncak akibat tindakan keras rejim Assad terhadap tunjuk perasaan yang bermula pada 2011.-Agensi, BH Online-
IMedikel TV






