Home Luar Negara JUNTA MYANMAR ROBOHKAN HAMPIR 150 BANGUNAN HAB PENIPUAN

JUNTA MYANMAR ROBOHKAN HAMPIR 150 BANGUNAN HAB PENIPUAN

YANGON: Tentera Myanmar semalam mengumumkan meroboh hampir 150 bangunan dalam operasi membanteras pusat penipuan internet terkenal yang bersempadan dengan Thailand, termasuk gimnasium, spa dan pusat karaoke.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro hab penipuan berkembang pesat di wilayah sempadan Myanmar yang diuji peperangan dan pentadbiran longgar, menempatkan pekerja yang menyasarkan pengguna internet dengan penipuan percintaan dan perniagaan bernilai berbilion dolar setiap tahun.

Difahamkan, ramai pekerja diperdagangkan ke premis penipuan internet itu namun, ada juga yang rela ke kawasan itu yang dilengkapi dengan kemudahan mewah untuk ketua penjenayah dan kakitangan mereka yang berpendapatan tinggi.

Bulan lalu, tentera Myanmar mengumumkan serbuan ke atas pusat penipuan terkenal KK Park dan menemui lebih 2,000 anggota sindiket serta menyebabkan 1,500 orang melarikan diri ke Thailand.

Dalam laporan akhbar rasmi The Global New Light of Myanmar pula, Junta berkata, 148 bangunan ditemui termasuk asrama, hospital empat tingkat dan kompleks karaoke dua tingkat.

“Sebanyak 101 bangunan sudah dirobohkan, manakala baki 47 bangunan masih dalam proses,” menurut laporan akhbar itu.

Dalam pada itu, AFP tidak dapat mengesahkan dakwaan dengan segera, tetapi penduduk Myanmar dan Thailand melaporkan mendengar bunyi letupan sejak serbuan tentera bermula.

Pakar berkata, serbuan Junta kemungkinan terhad, dikawal rapi dan sengaja dihebahkan untuk mengurangkan tekanan antarabangsa tanpa menjejaskan keuntungan pusat penipuan.

Media turut melaporkan, China adalah penyokong ketenteraan utama Junta, tetapi penganalisis berkata, Beijing semakin marah dengan penipuan yang menyasarkan warganya.

Namun, pemantau berpandangan, jika tindakan keras diambil secara berlebihan, ia akan mengurangkan keuntungan yang memperkayakan kumpulan militan yang menjadi sekutu penting kepada Junta dalam perang saudara yang telah melanda negara itu sejak rampasan kuasa pada 2021.

Februari lalu, kempen tekanan China menyaksikan 7,000 pekerja penipuan dipulangkan semula, manakala Thailand melaksanakan sekatan internet merentasi sempadan untuk mengekang ‘kilang’ penipuan.

Serbuan awal ke atas KK Park diumumkan pada 19 Oktober selepas penyiasatan AFP mendedahkan pusat itu berkembang walaupun terdapat sekatan, dengan peranti penerima internet satelit Starlink dipasang secara besar-besaran.

Syarikat induk Starlink, SpaceX berkata, mereka sudah memotong isyarat kepada lebih 2,500 terminal internet satelit berhampiran pusat penipuan yang disyaki di Myanmar. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here