Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) kini menubuhkan beberapa usahasama pajakan melombong dengan syarikat yang beroperasi secara sah dan berkuat kuasa.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata antara syarikat tersebut adalah CMNM Mining Group Sdn. Bhd, Prima Warisan Venture Sdn. Bhd, FMR (Fortune Minerals Resources), Sri Damar Mine Trading Sdn. Bhd dan Uzie Gold Mining Sdn. Bhd.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (Barisan Nasional-Galas) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini, hari ini
Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa memastikan semua syarikat itu mematuhi peraturan Pajakan Melombong yang telah ditetapkan, melaksanakan operasi dengan penuh tanggungjawab, dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri serta kesejahteraan komuniti setempat
“Pemantauan berterusan turut dijalankan bagi memastikan setiap aktiviti perlombongan dijalankan secara selamat, mampan, dan mematuhi piawaian alam sekitar,”katanya.
Dalam masa sama Dr. Mohamad Fadzli memberi jaminan terdapat prosedur operasi standard (SOP) bagi perlombongan pasir.
“Saya jamin bahawa SOP perlombongan memang ada. Cuma sebagaimana dibangkitkan oleh ADUN Galas tadi, ada syarikat yang mematuhi SOP dan ada juga yang melanggar,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada ADUN, Bahari Mohamad Nor, (PAS-Gual Ipoh) berkenaan SOP perlombongan pasir supaya kelestarian sungai terkawal.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat yang sahih kepada kerajaan negeri sekiranya terdapat aktiviti perlombongan yang melanggar peraturan.
“Kita sayangkan alam sekitar dan negeri kita. Kadang-kadang ada aduan yang dibuat melalui media sosial, tetapi apabila disiasat, ia tidak benar dan hanya sangkaan semata-mata.
“Memang kita tahu ada , tetapi pemantauan kita tidak dapat dilakukan secara menyeluruh sebab kadang-kadang jauh ke dalam.
“Kita memang perlukan kerjasama semua pihak. Jika ada maklumat benar mengenai pelanggaran SOP, serahkan kepada pihak kerajaan, dan tindakan penguatkuasaan akan diambil,”katanya.
IMedikel TV






