Home Buletin Semasa JIM JOHOR TAHAN 45 PATI DALAM SERBUAN DI RUMAH KEDAI

JIM JOHOR TAHAN 45 PATI DALAM SERBUAN DI RUMAH KEDAI

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan seramai 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Mount Austin, di sini, Sabtu lalu.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi dijalankan sekitar jam 12.30 tengah malam menerusi Ops Sapu yang melibatkan 30 pegawai Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor.

“Operasi ini dijalankan hasil risikan dan aduan awam mengenai kehadiran PATI yang dipercayai bekerja secara haram serta menetap di kawasan rumah kedai berkenaan.

“Ketika serbuan, kesemua warga asing itu sedang berehat dan ada antara mereka cuba melarikan diri serta bersembunyi di bilik mandi, namun berjaya diberkas,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Beliau berkata, mereka yang ditahan berusia antara sembilan bulan hingga 46 tahun dan didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah selain tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Jelasnya, antara yang ditahan ialah tiga lelaki Indonesia, sembilan lelaki Pakistan, tujuh lelaki India, 19 lelaki Myanmar, seorang kanak-kanak lelaki Myanmar, lima wanita Myanmar dan seorang wanita Indonesia.

Katanya, semua tahanan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.

“JIM Johor akan terus mempergiat usaha membanteras kehadiran PATI serta mengambil serius isu penyalahgunaan pas dan permit kerja oleh warga asing.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here