NAPLES, Itali: Scott McTominay menasihatkan Napoli untuk sekali lagi memburu pemain Manchester United, bintang muda England, Kobbie Mainoo.
Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian pemain tengah berusia 20 tahun itu kini ketinggalan dalam senarai pilihan di bawah pengurus Ruben Amorim dan hanya bermain 138 minit dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Dengan tiada saingan Eropah dan Red Devils sudah tersingkir daripada Piala Liga, peluang Mainoo untuk tersenarai dalam skuad England ke Piala Dunia 2026 di bawah kendalian Thomas Tuchel kelihatan tipis kecuali dia meninggalkan Old Trafford pada Januari depan.
Lebih mengecewakan, kontraknya kini meletakkan dia di tangga gaji terendah dalam pasukan utama dan tiada tanda ia akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Sumber memberitahu SunSport rakan sepasukan lamanya di United, McTominay, 28, memaklumkan kepada pengurus Napoli, Antonio Conte beliau harus cuba membawa Mainoo ke Serie A.
McTominay yang berpindah ke Naples dua tahun lalu mencatat 12 gol dalam musim pertamanya, memenangi Scudetto Serie A, gelaran pemain terbaik kelab dan menduduki tempat ke-18 dalam pemilihan Ballon d’Or.
Sumber itu berkata: “Scott berjumpa Conte dan memberitahu beliau untuk dapatkan Kobbie. Dia menceritakan semua kekuatan dan betapa hebatnya pemain itu. Dia tahu semua mengenainya semasa di United dan fikir Mainoo akan menjadi tambahan hebat untuk pasukan sama ada secara pinjaman atau perpindahan tetap. Kobbie dibesarkan dengan cara betul di United sejak dari akademi dan dia akan terus sesuai serta memberi suntikan kepada Napoli.”
Napoli musim panas lalu menandatangani Kevin de Bruyne dari Manchester City, namun pemain berusia 34 tahun itu dijangka berehat lama selepas menjalani pembedahan paha bulan lalu.
Mereka juga mempunyai penyerang Red Devils, Rasmus Hojlund secara pinjaman dari Old Trafford, sekali gus menjadikan hubungan kedua-dua kelab semakin baik sejak kebelakangan ini.
Amorim memahami kekecewaan Mainoo kerana kurang bermain dan menjanjikan rancangan jangka panjang sekiranya dia kekal, tetapi beliau juga sedar Mainoo mahu layak ke Piala Dunia untuk England, yang kelihatan mustahil jika tidak bermain secara tetap.
Mainoo tidak dipilih oleh Tuchel dalam skuad terkini. – AGENSI, BH Online –
Imedikel TV






