LONDON: Bekas pengendali Arsenal, Arsene Wenger, mendedahkan butiran baharu mengenai perpindahan Florian Wirtz ke Liverpool bernilai 116 juta pound (RM658 juta) pada musim panas lalu, dengan mendakwa satu permintaan khas daripada pemain Jerman itu menjadi punca jentera tengah The Reds “musnah”.
Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian, juara Liga Perdana Inggeris itu memenangi perebutan mendapatkan bintang tengah Bayer Leverkusen berkenaan dengan rekod perpindahan baharu di Britain, sebelum memecah rekod itu sekali lagi apabila menandatangani Alexander Isak dengan nilai 125 juta pound (RM710 juta) pada hari akhir jendela perpindahan.
Namun, Wirtz gagal menyerlah sejak menyertai Anfield, apabila masih belum menjaringkan sebarang gol atau mencipta bantuan jaringan dalam 10 perlawanan liga setakat ini.
Dalam tempoh sama, Liverpool di bawah bimbingan Arne Slot turut bergelut, apabila tewas enam daripada tujuh perlawanan sebelum kembali bangkit dengan kemenangan penting ke atas Aston Villa dan Real Madrid.
Pemain antarabangsa Jerman itu digugurkan hujung minggu lalu, namun kembali dalam kesebelasan utama menentang Real Madrid dengan beraksi di posisi sayap berbanding peranan asalnya di tengah.
Sebelum perlawanan itu, Wenger mendedahkan kepada beIN SPORTS bahawa permintaan Wirtz untuk bermain di posisi nombor 10 telah menjejaskan keseimbangan Liverpool.
“Liverpool contoh yang menarik. Bila Wirtz diberi pilihan antara Bayern Munich atau Liverpool, dia beritahu Liverpool: ‘Saya akan sertai kamu jika saya bermain sebagai nombor 10, bukan di sayap’.
“Liverpool bersetuju semata-mata untuk mendapatkannya. Tapi bila mereka ubah susunan, mereka musnahkan tengah mereka – yang sepatutnya terdiri daripada Ryan Gravenberch, Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai.
“Untuk beri ruang kepada Wirtz, mereka keluarkan Szoboszlai. Tapi lawan Aston Villa, mereka kembali kepada trio tengah asal musim lalu. Dan malam ini, Wirtz bermain semula – tapi saya pasti dia akan bermain di sebelah kiri.
“Pengurus sudah beritahu: ‘Jika ingin bermain semula, perlu bermain di sayap sebab saya tidak mahu ganggu keseimbangan barisan tengah,'” kata Wenger.
Sejak Slot mengembalikan kombinasi tengah musim lalu, Liverpool menunjukkan peningkatan ketara dengan dua kemenangan berturut-turut dan tidak dibolosi.
Mac Allister, yang sebelum ini dikritik kerana prestasi tidak konsisten, muncul wira dengan gol kemenangan menentang Real Madrid, sementara Gravenberch turut menemui sentuhan jaringan ketika menewaskan Aston Villa.
Jika bermain di posisi sayap mampu mengembalikan kestabilan pasukan, Wirtz mungkin perlu mengalah daripada tuntutan asalnya demi kepentingan pasukan.
Namun, keputusan itu boleh menjejaskan Cody Gakpo, yang menjadi antara pemain paling berbahaya Liverpool ketika mereka berdepan tempoh sukar.
Ujian seterusnya buat The Reds adalah menentang Manchester City di Stadium Etihad hujung minggu ini, dengan City kini di kemuncak prestasi hasil ledakan luar biasa Erling Haaland yang sudah menjaringkan 17 gol dalam 13 perlawanan musim ini.
Slot dijangka memberi tumpuan kepada kekuatan pertahanan dan kepantasan di bahagian tengah bagi mengekang ancaman mesin gol City itu. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






