Home Buletin Semasa KPT JULANG AGENDA MOBILITI AKADEMIK SERANTAU SELARAS KEPENGERUSIAN ASEAN-MALAYSIA 2025

KPT JULANG AGENDA MOBILITI AKADEMIK SERANTAU SELARAS KEPENGERUSIAN ASEAN-MALAYSIA 2025

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh agenda mobiliti akademik sebagai jambatan penghubung budaya dan persefahaman antarabangsa

Menurut kenyataan di Facebook rasmi KPT, mobiliti akademik merujuk kepada program pertukaran pelajar dan staf antara Institusi Pendidikan Tinggi di dalam atau luar negara, bertujuan untuk memberi pendedahan antarabangsa dan memperluas pengalaman pembelajaran.

Komitmen Kementerian tersebut dizahirkan melalui penganjuran Mesyuarat Kajian Semula Tahunan (ARM) Ke-19 Program Mobiliti Antarabangsa Asia untuk Pelajar (AIMS) 2025.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, program tersebut berfungsi sebagai platform penting mencipta peluang sepanjang hayat untuk pelajar serta pendidik merentasi ASEAN dan negara-negara lain.

“Seramai hampir 220 peserta yang mewakili 10 negara anggota AIMS iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Brunei Darussalam, Kemboja, Singapura, Jepun, dan Republik Korea sudah menyertai program tersebut.

“Kejayaan AIMS adalah cerminan semangat kolaboratif dan persahabatan yang didukung Malaysia selaras Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025,”katanya ketika berucap malam tadi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik termasuk Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) melalui Pusat Serantau bagi Pendidikan Tinggi dan Pembangunan (RIHED), Education Malaysia Global Services (EMGS) serta Jabatan Pendidikan Tinggi selaku hos penganjuran.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Pengarah SEAMEO RIHED, Dr. Choltis Dhirathit; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin; serta para Naib Canselor universiti awam.

AIMS 2025 bermula semalam hingga esok bersempena Festival Idea Putrajaya 2025.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here