Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang wanita maut manakala suaminya dan seorang lagi penumpang cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Jalan Gua Musang–Kuala Lipis, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.50 pagi melalui panggilan telefon daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Gua Musang.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 3.45 pagi apabila sebuah treler jenis Scania yang dipandu lelaki berumur 25 tahun dari arah Gua Musang menghala ke Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Iriz dari arah hadapan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, akibat pertembungan itu, kereta tersebut terbabas ke bahu kiri jalan.
“Semua penumpang dan pemandu Proton Iriz dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk rawatan awal.
“Bagaimanapun penumpang belakang, seorang wanita yang juga isteri kepada pemandu kereta tersebut, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan awal di hospital, manakala pemandu dan penumpang lain hanya mengalami kecederaan ringan,”katanya.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
Bagaimanapun, menurutnya siasatan lanjut masih dijalankan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-912 1222.
IMedikel TV






