Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Meskipun sudah berusia 73 tahun, semangat Aminah Daud untuk mencari rezeki tidak pernah luntur.
Setiap hari, warga emas dari Kampung Lembah Sireh itu gigih menjual jagung segar di tepi jalan, hanya beralaskan tikar di atas tanah, sambil menyambut pelanggan dengan senyuman mesra.
Ketika ditemui kru IMedikel TV baru-baru ini, Aminah kelihatan tenang menyusun tongkol jagung hasil tanamannya yang kini mencecah hampir 7,000 pokok.
Menurutnya, dia sudah lebih 30 tahun mengusahakan tanaman jagung dan pelbagai hasil tani lain, namun tahun ini dia memilih untuk memberi tumpuan penuh kepada jualan jagung.

“Dari usia muda saya sudah menanam pelbagai jenis tanaman tetapi untuk tahun ini, saya fokus kepada jagung.
“Bulan Ogos lalu saya tabur dua kilogram (kg) benih jagung. 1kg ada lebih kurang 3,500 benih, jadi sekarang ada 7,000 pokok semuanya,” katanya ketika ditemui di sini.
Aminah menjelaskan, setiap hari dia memetik kira-kira 500 tongkol jagung dengan bantuan anak bongsunya untuk dijual selepas tempoh tuaian 70 hari.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, pada peringkat ini, semua jagung yang ditanam tumbuh dengan saiz yang agak kecil, kemungkinan atas beberapa faktor termasuk baja yang tidak mencukupi.
“Sekarang tanaman ini kecil sebab saya dah tidak usahakan tanah itu sepenuhnya seperti dulu, waktu mula-mula dulu, saya tanam penuh dan sentiasa letak baja, sebab tu hasilnya besar.
“Sekarang sudah lama tidak dibaja, tanah pun menjadi keras dan semak, kalau dibaja dan dijaga semula, boleh jadi besar balik, sekarang ni kecil sebab dah tak ada siapa yang nak urus selain saya sendiri,” katanya.
Namun begitu, saiz yang kecil tidak menghalang Aminah daripada terus berniaga malah, dia menjual dengan harga lebih berpatutan iaitu RM10 bagi 20 tongkol jagung berbanding harga lama iaitu RM10 untuk lapan tongkol.
Baginya, berniaga bukan sekadar mencari keuntungan tetapi juga satu bentuk ibadah dan peluang untuk bersedekah kepada orang ramai.
Katanya, meskipun dengan usianya sebegitu, dia masih kuat untuk memetik jagung dan menjualnya, sementara warga emas yang lain hanya berehat di rumah.
“Dahulu, saya jual jagung di pasar tetapi sekarang ini cukup jual di sini sahaja disebabkan kos kenaikan untuk ulang alik ke pasar juga tinggi, saya ambil keputusan untuk berniaga di sini sahaja, dekat dengan rumah,” katanya.
Kegigihan Aminah bukan sekadar simbol ketabahan seorang warga emas, tetapi juga cerminan semangat luar biasa dalam mencari rezeki halal tanpa mengira usia.
IMedikel TV






