MUNICH: Bayern Munich akan berdepan ujian sebenar apabila menentang juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini, perlawanan yang bakal menentukan sejauh mana kedudukan mereka dalam kalangan elit Eropah musim ini.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Kelab gergasi Bavaria itu memulakan kempen dengan rekod sempurna – 15 kemenangan daripada 15 perlawanan dalam semua pertandingan – sekali gus mencipta rekod baharu sebagai permulaan terbaik musim dalam sejarah lima liga utama Eropah.
Permulaan luar biasa itu menyemarakkan impian Bayern untuk kembali merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara, namun pertemuan di laman PSG akan menjadi kayu ukur sebenar kehebatan mereka.
Rekod hebat itu sekali gus memadam pencapaian lama AC Milan yang mencatatkan permulaan terbaik pada musim 1992-93.
Sepanjang 15 perlawanan itu, Bayern hanya ketinggalan selama lima minit iaitu ketika kemenangan 4-1 ke atas Cologne dalam saingan Piala Jerman minggu lalu.
Dalam liga domestik, mereka menewaskan semua pasukan yang menghuni tangga kedua hingga kelima selain menumpaskan juara Piala Dunia Kelab, Chelsea.
Di bawah kendalian Vincent Kompany, Bayern tampil garang di semua posisi tetapi tumpuan utama tetap tertumpu kepada penyerang sensasi, Harry Kane.
Selepas menamatkan penantian trofi musim lalu menerusi kejuaraan Bundesliga, kapten England itu kini berada di tahap lebih tinggi dengan persembahan luar biasa.
Kane sudah meledak 22 gol dalam 15 perlawanan bagi semua pertandingan, malah pengaruhnya dari segi kreativiti turut penting ketika ketiadaan Jamal Musiala yang berehat selama enam bulan kerana cedera. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






