Home Sukan BABAK PERTAMA TERBAIK MUSIM INI – ARTETA

BABAK PERTAMA TERBAIK MUSIM INI – ARTETA

254
0

BURNLEY: Arsenal mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris selepas menundukkan Burnley 2-0 di Turf Moor bagi melebarkan jurang tujuh mata di tangga teratas.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, skuad bimbingan Mikel Arteta sekali lagi mempamerkan kehebatan mereka dalam situasi bola mati apabila Viktor Gyokeres membuka jaringan pada minit ke-14.

Ia hasil gerakan sepakan sudut yang dirancang rapi bersama Declan Rice dan Gabriel. Penyerang Sweden itu hanya perlu menolak bola masuk dari jarak dekat.

The Gunners kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-35 menerusi serangan balas pantas yang disudahi Rice dengan tandukan kencang menewaskan penjaga gol Burnley, Martin Dubravka.

Burnley gagal mencipta sebarang percubaan tepat sepanjang babak pertama, sementara Arsenal pula terus menguasai permainan dan mencatat rekod bersih ketujuh berturut-turut dalam semua kejohanan.

Dengan kemenangan ini, Arsenal mengumpul 25 mata daripada 10 perlawanan, manakala Bournemouth yang akan beraksi malam ini berada di tangga kedua pada 18 mata. Burnley kekal di tangga ke-17 dengan 10 mata.

Arteta memuji aksi mantap anak buahnya, terutama pada separuh masa pertama yang dianggap antara yang terbaik musim ini.

“Kami memulakan perlawanan dengan sangat baik. Babak pertama mungkin antara yang terbaik kami mainkan.

“Kami menjaringkan dua gol, mencipta beberapa peluang besar dan langsung tidak dibolosi. Ia menjadi asas kepada kemenangan ini.

“Separuh masa kedua standard permainan menurun sedikit, terutama daripada segi penguasaan bola, tetapi pertahanan kami kekal kukuh,” kata Arteta.

Daripada 16 gol liga mereka setakat ini, sembilan berpunca daripada situasi bola mati dan dua daripada sepakan penalti – membuktikan kekuatan Arsenal dalam memanfaatkan setiap peluang.

Gyokeres yang menjaringkan gol pertama malam tadi mencatat gol liga pertamanya sejak 13 September, namun pemain itu terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan, begitu juga Martin Zubimendi. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here