KUALA LUMPUR: Lakonan menyentuh emosi dua bintang utama filem Babah, iaitu Qi Razali dan Sweet Qismina melayakkan mereka membawa pulang trofi Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-34, malam tadi.
Memetik laporan Berita Harian, Qi atau nama penuh, Qushairi Mohammed Razali, 48, tidak menyangka menggondol trofi rebutan ramai itu. Namun, Qi meletakkan harapan atas faktor kejujuran naskhah arahan Mohd Shah Faizul itu.
“Babah adalah naskah yang jujur, ini bukan filem aksi atau seram. Ini adalah filem kekeluargan yang menceritakan perasaan seorang bapa yang tidak boleh bercakap dan pekak.
“Bagi saya, kemenangan ini bukanlah kejayaan saya seorang. Sebaliknya, kejayaan seluruh pasukan. Banyak yang saya pelajari daripada seorang bapa.
“Syukur Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dengan filem Babah. Kemenangan ini untuk semua Babah di luar sana… Semua Babah hebat,” katanya.
Qi menewaskan Aeril Zafrel yang membintangi filem Laknat: Beto Kusyairy (Reversi); Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers: Bara Naga) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee)
Sementara itu, Sweet atau nama penuh, Farhanna Qismina Supandi, 28, tidak pernah menyangka menewaskan empat lagi pelakon ‘senior’ dalam kategori itu.
“Syukur ya Allah, terima kasih kepada FFM 34, juri dan seluruh produksi filem Babah. Ini trofi pertama saya sejak bergelar pelakon selepas dua dekad.
“Selepas ini, saya akan menjaga kualiti kerja dan memelihara gelaran Pelakon Wanita Terbaik ini dengan baik.
“Kejayaan ini juga saya kongsi bersama keluarga terutama ibu dan suami yang banyak menyokong kerjaya seni,” katanya yang mula berlakon sejak berusia sembilan tahun.
Sweet menewaskan Khatijah Tan yang membintangi filem Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu);Maya Karin (Telaga Suriram); Nabila Huda (Telaga Suriram) dan Datin Sofia Jane (Mencari Ramlee). – BH Online –
IMedikel TV






