NEW DELHI: Polis di Bandar Raya Mumbai pada Khamis menyelamatkan 17 kanak-kanak yang dijadikan tebusan oleh seorang lelaki yang menjemput mereka menghadiri sesi uji bakat, lapor media tempatan.
Memetik laporan Bernama menerusi Harian Metro, suspek, yang dikenal pasti sebagai Rohit Arya, ditembak polis selepas berlakunya situasi tegang selama hampir sejam, menurut laporan yang memetik kenyataan pihak berkuasa.
Arya dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia akibat kecederaan tembakan.
Lelaki itu dikatakan menganjurkan uji bakat palsu bagi sebuah siri laman sesawang yang menarik penyertaan ramai remaja.
Dia menahan 17 kanak-kanak dan dua individu lain sebagai tebusan di sebuah studio di kawasan Powai, Mumbai.
Suspek, yang dilaporkan sebagai seorang pempengaruh YouTube dan guru dari negeri Maharashtra, sebelum itu menyiarkan video mendakwa dirinya bukan “pengganas” dan tidak menuntut wang tebusan, sebaliknya hanya mahu “berbincang secara sederhana” mengenai tuntutan “moral dan etikanya” yang tidak dijelaskan.
Dia turut mengugut untuk membakar bangunan itu sekiranya ada pihak cuba campur tangan.
Anggota Jabatan Bomba Mumbai menggunakan peralatan hidraulik untuk memotong jeriji bagi membolehkan polis memasuki studio berkenaan.
Menurut laporan, polis turut menemui sepucuk senjata menggunakan angin dan beberapa bekas kimia di lokasi kejadian. – BERNAMA, Hmetro Online –
IMedikel TV






