Home Sukan DOWMAN LAKAR SEJARAH BAHARU ARSENAL

DOWMAN LAKAR SEJARAH BAHARU ARSENAL

LONDON: Max Dowman mencipta sejarah baharu di Arsenal apabila menjadi pemain termuda memulakan perlawanan untuk kelab itu selepas disenaraikan dalam kesebelasan utama Mikel Arteta menentang Brighton dalam aksi Piala Liga.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, pada usia 15 tahun 302 hari, pemain tengah itu juga menjadi pemain termuda yang memulakan perlawanan dalam mana-mana kejohanan bagi kelab Liga Perdana Inggeris.

Ketika Dowman membuat penampilan profesional sulungnya sebagai pemain gantian menentang Leeds pada September lalu di usia 15 tahun 235 hari, dia menjadi pemain kedua termuda dalam sejarah Liga Perdana – selepas rakan sepasukan Arsenal, Ethan Nwaneri, yang beraksi buat kali pertama pada usia 15 tahun 181 hari.

Namun kini Dowman memegang rekod baharu Arsenal, memadam rekod terdahulu milik penjaga gol Jack Porter yang bermain pada usia 16 tahun 72 hari dalam kemenangan 5-1 ke atas Bolton dalam saingan Piala Liga musim lalu – perlawanan yang turut menyaksikan jaringan pertama Nwaneri di peringkat senior. Dowman memecahkan rekod itu dengan perbezaan 135 hari.

Pada Selasa, pengendali Arsenal, Arteta, berkata beliau perlu berhati-hati dalam menggunakan Dowman yang sudah berlatih bersama skuad utama sejak tahun lalu, namun mengakui bakat pemain muda itu terlalu besar untuk diketepikan.

“Kami perlu kawal beban latihannya. Dia baru berusia 15 tahun, masih membesar, dan banyak perkara yang perlu dijaga supaya dia dapat berkembang dengan betul.

“Kalau tengok pasportnya setiap hari, kami takkan turunkan dia. Tapi bila lihat apa yang dia tunjukkan dalam latihan, kamu mesti mainkannya, kalau tidak kamu buta.

“Jadi kami perlu cari keseimbangan, faham keadaan, kawal beban dan pastikan bila dia diturunkan, dia berada dalam konteks yang sesuai bersama pemain yang betul supaya dia mampu menyesuaikan diri.

“Setakat ini dia sudah lakukannya dengan baik, malah sangat baik,” kata Arteta.

Dowman bersetuju untuk menandatangani kontrak biasiswa bersama Arsenal pada akhir musim ini tetapi tidak boleh menandatangani kontrak profesional sehingga 31 Disember 2026 – hari ulang tahunnya yang ke-17.

Keadaan itu bermakna dia berpotensi meninggalkan kelab selepas tarikh berkenaan, namun Arteta yakin bintang mudanya itu akan kekal.

“Saya tidak terlalu fikir tentang perkara itu kerana segala yang saya dengar daripada pemain dan keluarganya sangat positif.

“Perasaan saya, secara jujur, dia sangat menyayangi kelab ini. Dia penyokong tegar Arsenal dan keluarganya juga gembira dengan cara kami membimbingnya.

“Mudah-mudahan dia akan terus bersama kami untuk tempoh yang lama,” katanya. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here