Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Pelakon dan pengarah terkenal, Sabri Yunus mengakui beliau kini lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan, sambil tetap aktif menggerakkan kerja seni yang dekat di hatinya.
“Sekarang saya berhibur dengan keluarga dan kawan-kawan. Filem terbaru saya, Malam Terlarang akan ditayangkan di pawagam hujung bulan ini. Yang lain-lain tu, masih dalam proses penggambaran bersama beberapa rakan pelakon,” katanya ketika ditemui Program After Monsun Project 03: Tera-Kota, bertemakan Tanah-Tubuh-Tapak yang berlangsung di Pantai Pulau Kundur, di sini, semalam.
Menurut Sabri, setiap karya yang dihasilkan bukan sekadar untuk mengejar populariti, sebaliknya membawa nilai sejarah dan kisah yang ingin dikongsikan kepada masyarakat.
“Saya selalu hasilkan projek yang ada unsur sejarah dan bercerita tentang manusia. Saya hanya akan rasa bangga bila hasil itu siap dan memberi kesan kepada penonton bukan masa tengah buat,” ujarnya.
Sebagai pengarah yang terkenal dengan sentuhan seni halus dan falsafah mendalam dalam karyanya, Sabri turut berkongsi pandangan terhadap industri filem dan drama tempatan masa kini.
Beliau menyifatkan perkembangan karya generasi baharu sebagai sesuatu yang positif, namun menekankan kepentingan memahami sempadan dan keseimbangan dalam berkarya.
“Saya tak kata anak-anak muda kita tak bagus. Cuma kita kena tahu had itu di mana. Kalau kita tarik terlalu jauh, kita rugi banyak perkara.
“Dalam seni, ada orang suka lukis kartun, ada yang suka lukis realistik. Begitu juga dengan filem dan drama setiap orang ada penonton dia. Yang penting, jangan terlalu takut untuk berkarya. Kalau terlalu jaga sempadan, karya jadi hambar,” jelasnya.
Sabri turut menegaskan bahawa dalam sesebuah drama atau filem, kehadiran watak jahat tidak harus dianggap negatif, sebaliknya penting bagi memperlihatkan perbandingan antara baik dan buruk.
“Kalau tak ada watak jahat, macam mana kita nak tunjuk yang baik tu? Jangan risau sangat kononnya nanti orang terpengaruh. Cerita hanya menggambarkan kehidupan bukan mendidik orang buat jahat,” katanya lagi.
Dengan falsafah seni yang matang dan pandangan yang tajam terhadap dunia lakonan serta pengarahan, beliau terus membuktikan bahawa seni bukan sekadar hiburan, tetapi satu perjalanan yang mencerminkan nilai, budaya dan jiwa bangsa.
IMedikel TV






