Home Buletin Semasa ECERDC PACU KELANTAN KE ARAH PERTUMBUHAN BAHARU

ECERDC PACU KELANTAN KE ARAH PERTUMBUHAN BAHARU

391
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pembangunan ekonomi Kelantan terus mencatat kemajuan memberangsangkan apabila Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM1.12 bilion setakat September lalu, dengan sektor pembuatan muncul sebagai penyumbang utama pertumbuhan negeri.

Pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi jangka panjang Kelantan, malah membuka lebih 200 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan.

Selain itu, pelaburan komited bernilai RM736 juta membabitkan sektor pertanian, perkhidmatan dan industri dijangka menjana lebih 1,300 peluang pekerjaan apabila direalisasikan kelak.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Haji Daud, menegaskan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan ECERDC amat penting dalam memastikan agenda pembangunan negeri berjalan selaras dengan keutamaan jangka panjang Kelantan.

“Perkongsian strategik ini membolehkan pelaksanaan projek berimpak tinggi yang memperkukuh sektor ekonomi utama, membuka peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Melalui perancangan dan pembangunan lestari yang rapi, kita mahu menjadikan Kelantan lebih kompetitif dan berdaya tahan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Kelantan.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal, Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Datuk Nik Raisnan Daud serta Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan, Jasri Kassim.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat, berkat peningkatan pelaburan itu menunjukkan keyakinan berterusan pelabur terhadap hala tuju pembangunan negeri yang kini disokong oleh pelbagai inisiatif infrastruktur strategik.

“Projek utama seperti Jambatan Palekbang–Kota Bharu, yang kini mencapai 22 peratus tahap siap, serta sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memperkukuh kesalinghubungan dan kedudukan Kelantan dalam koridor ekonomi serantau.

“ECERDC komited bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan bagi memastikan pembangunan ini memberi impak menyeluruh serta lestari kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya projek Jambatan Palekbang–Kota Bharu kekal sebagai salah satu inisiatif transformasi utama yang dilaksanakan ECERDC di Kelantan.

“Antara projek berimpak tinggi di bawah ECERDC, Jambatan Palekbang–Kota Bharu kekal sebagai inisiatif transformasi utama yang bakal memperkukuh hubungan antara Kota Bharu dan Tumpat, serta mengurangkan kesesakan di pusat bandar.

“Apabila siap kelak, jambatan strategik itu dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan sektor perdagangan, logistik dan pelancongan, di samping membuka laluan pelaburan baharu di bahagian utara Kelantan.

“Infrastruktur strategik ini dijangka merancakkan aktiviti perdagangan, logistik dan pelancongan tempatan, sekali gus menjadi pemangkin utama kepada fasa pertumbuhan ekonomi seterusnya dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),”katanya.

Menurut beliau pembangunan infrastruktur utama lain seperti Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan kerja menaik taraf jalan penghubung turut memperkukuh akses di seluruh negeri.

“Inisiatif ECERDC akan melengkapi dan mempercepat pembangunan ini, sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan, pengembangan industri serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif di Kelantan,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here