Home Sukan PADANG LICIN GAGAL SEKAT SEMANGAT ARIF AIMAN, JDT

PADANG LICIN GAGAL SEKAT SEMANGAT ARIF AIMAN, JDT

238
0

JOHOR BAHRU: Padang licin dan suasana mencabar tidak mampu mengekang kehebatan Arif Aiman Hanapi apabila bintang muda itu menjadi nadi kebangkitan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menewaskan Chengdu Rongcheng 2-0 pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit di Chengdu, China semalam.

Memetik laporan Berita Harian, Arif Aiman, yang dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan, mengakui JDT berdepan laluan sukar sejak awal permainan namun tetap mengekalkan fokus dan semangat juang tinggi demi membawa pulang tiga mata.

“Kami ketepikan semua kesukaran termasuk keadaan padang yang licin. Misi utama kami hanyalah untuk menang. Tahniah kepada semua rakan sepasukan yang memberikan 100 peratus tenaga dan disiplin.

“Selepas ini, kami mahu mengekalkan momentum menjelang pertemuan dengan Shanghai Shenhua di gelanggang sendiri pada 5 November nanti,” katanya.

Sementara itu, pengendali JDT, Xisco Munoz menzahirkan rasa bangga terhadap sikap profesional dan komitmen pemain yang kekal tenang serta berdisiplin sepanjang perlawanan walaupun berdepan tekanan pasukan tuan rumah.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada semua pemain. Mereka bermain dengan sepenuh hati untuk memastikan kemenangan ini selepas dua aksi tanpa menang.

“Corak permainan mereka menepati perancangan taktikal dan mereka bijak menyesuaikan diri dengan keadaan padang. Kemenangan ini akan meningkatkan lagi keyakinan dan motivasi seluruh pasukan,” katanya.

Pada aksi itu, JDT meraih gol menerusi Oscar Arribas pada minit kelima dan Nacho Mendez (m-62) sekali gus mengumpul empat mata untuk melonjak ke tangga kelima zon Timur. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here