Home Buletin Semasa KPM PERUNTUK RM5 JUTA TAMBAHAN PASANG CCTV, PERKUKUH KESELAMATAN SEKOLAH

KPM PERUNTUK RM5 JUTA TAMBAHAN PASANG CCTV, PERKUKUH KESELAMATAN SEKOLAH

462
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA:Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan tambahan RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah yang dikenal pasti di seluruh negara dalam usaha memperkukuh keselamatan dan mengawal isu disiplin murid.

Dalam kenyataan hari ini, KPM memaklumkan peruntukan itu adalah tambahan kepada RM3 juta yang diluluskan sebelum ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM8 juta bagi pemasangan CCTV di institusi pendidikan bawah kelolaan KPM.

Menurut kenyataan langkah itu adalah sebahagian daripada 11 tindakan tambahan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid sentiasa terjamin.

“Antara langkah lain ialah penempatan 10,096 guru baharu, termasuk lebih 500 Guru Bimbingan dan Kaunseling, ke sekolah di seluruh negara pada November depan bagi memenuhi keperluan semasa serta meningkatkan aspek psikososial murid.

“Bagi memperkukuh kawalan keselamatan di asrama, seramai 600 Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa akan dilantik daripada kalangan personel MySTEP untuk membantu pemantauan keselamatan murid dan mengurangkan beban tugas warden,”menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diperkukuhkan menerusi Jawatankuasa Pemuafakatan Sekolah, termasuk pelaksanaan fungsi Pegawai Penghubung Sekolah bagi memantau keselamatan di semua institusi pendidikan KPM.

KPM juga memperkukuhkan fungsi Smart Support Team di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi membantu intervensi psikososial semasa krisis, selain memberi latihan berterusan kepada guru untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan di sekolah.

“Selain itu bagi menangani isu disiplin, peranan Pengetua, Guru Besar dan Jawatankuasa Disiplin Sekolah akan dipertingkatkan dengan memperkukuh pelaksanaan kuasa sedia ada termasuk merotan, menggantung atau membuang sekolah.

“Pengetua dan Guru Besar juga boleh menurunkan kuasa disiplin kepada guru mengikut keperluan, selaras dengan usaha menggubal semula peraturan disiplin murid yang sedang dijalankan,”jelas kenyataan itu.

Menurut KPM Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) turut akan diteliti semula bagi memastikan ia digunakan secara lebih proaktif dalam mengurus dan menangan isu disiplin di sekolah.

Dalam masa sama, KPM menegaskan suara guru dan murid di sekolah perlu diberi perhatian. Sesi pertemuan dan dialog dengan murid dan guru perlu diadakan untuk mengetahui keperluan dan perkara yang berbangkit.

“Inisiatif ‘kotak suara murid’ adalah selaras dengan advokasi suara kanak-kanak seperti yang disyorkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) juga dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat bagi memastikan murid mendapat perlindungan menyeluruh di sekolah,”menurut kenyataan.

Selain itu, kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan diperluaskan melalui program saringan kesihatan mental dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam, termasuk intervensi serta sokongan psikososial berterusan untuk murid.

Menurut kenyataan itu, semua langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan KPM untuk meningkatkan aspek keselamatan institusi pendidikan dan menangani isu disiplin murid.

“Semua pihak diseru untuk berkerjasama memastikan hasrat mewujudkan ekosistem selamat di semua institusi pendidikan dapat direalisasikan,”menurut kenyataan itu.

IMedikel TV


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here