Home Hiburan GELARAN ‘KACIP’ SEKADAR GURAUAN – HELIZA

GELARAN ‘KACIP’ SEKADAR GURAUAN – HELIZA

413
0

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi yang baru pulang daripada misi Global Sumud Flotila (GSF) ke Gaza, mengakui tidak pernah tersinggung dengan gelaran mahupun komen yang diberikan warganet terhadap dirinya di media sosial.

Memetik laporan Berita Harian, Heliza berkata, beliau menganggap segala gelaran termasuk ‘kacip’ hanyalah gurauan yang mendekatkan dirinya dengan masyarakat, terutama dalam kalangan generasi muda.

“Saya tahu ada yang panggil saya ‘kacip’. Saya pun sebenarnya tidak tahu apa maksud sebenar ‘kacip’ itu. Orang kata maksudnya seperti masuk air atau gila-gila, jadi saya anggap ia sesuatu yang menceriakan suasana. Saya tidak kecil hati pun,” katanya ditemui pada sidang media program amal Malam Untukmu Gaza di Saloma Bistro, semalam.

Dalam pada itu, Heliza turut meluahkan rasa syukur kerana diberi kekuatan dan ketenangan hati untuk terus menyebarkan kesedaran mengenai perjuangan rakyat Palestin meskipun baru pulang daripada misi yang penuh cabaran.

Katanya, beliau dan pasukannya perlu mengekalkan semangat positif biarpun berhadapan dengan pelbagai tekanan sepanjang misi.

“Orang kata kami balik dari misi, tapi nampak ceria macam tiada apa. Sebenarnya, bila berdepan dengan tentera Israel, kami memang kena kuat seperti rakyat Palestin.

“Kalau kami lemah dan menangis, mereka akan rasa mereka berjaya. Jadi, bila pulang ke Malaysia, perjalanan perjuangan masih panjang. Alhamdulillah, Allah bagi kami kekuatan untuk terus berkongsi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Heliza menjelaskan, sebaik tiba di tanah air, beliau dan rakan sepasukan tidak sempat berehat kerana terus menjelajah ke beberapa negeri bagi berkongsi pengalaman misi kemanusiaan itu.

Menurut Heliza, beliau kini berusaha mendekati generasi muda melalui perbualan santai di media sosial agar mesej perjuangan Palestin lebih mudah diterima.

“Kami cuba bina hubungan dengan generasi Z, sebab kalau terus kongsi perkara berat, mereka mungkin tidak berminat. Jadi kami guna cara santai supaya mesej sampai dengan lebih dekat.

“Saya pun terkejut bila ramai tanya ‘mana geng kacip?’ di media sosial. Ia bukan gelaran yang saya cipta, tapi saya jadikan ia sebagai cara untuk eratkan hubungan sambil berkongsi mengenai Palestin,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Heliza bersama adiknya, Hazwani Helmi, akan tampil pada program Malam Untukmu Gaza yang bakal berlangsung di Kedai Emas Sri Semantan Cawangan Jengka, Pahang, pada Jumaat ini jam 9 malam.

Selain berkongsi pengalaman sepanjang misi GSF, kedua-duanya juga akan menyampaikan lagu baharu berjudul Mengukir Takdir, ciptaan Hazwani bersama komposer Wan Saleh, yang dihasilkan sebelum mereka berangkat menyertai misi berkenaan.

“Program ini bukan sekadar perkongsian, tetapi juga platform untuk mengumpul dana bagi membantu membangunkan semula Gaza. Kami harap lebih ramai pihak tampil menyumbang,” katanya.

Program Malam Untukmu Gaza berkonsepkan solidariti dan kesedaran awam itu turut menampilkan pengisian seperti solat hajat, persembahan qasidah, ucapan aktivis kemanusiaan serta penyerahan sumbangan rasmi daripada Kedai Emas Sri Semantan kepada wakil Cinta Salam Malaysia. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here