MILAN, Itali: Selepas membantu Itali menjuarai Piala Davis pada 2023 dan 2024, Jannik Sinner tidak akan bertanding dalam edisi tahun ini.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Sinner, pemain nombor dua dunia dalam ranking ATP yang memenangi Terbuka Australia dan Wimbledon tahun ini untuk menjadikan jumlah kejuaraan Grand Slam kepada empat, memilih untuk menamatkan musimnya selepas kejohanan Pusingan Akhir ATP Nitto bulan depan di Turin, Itali.
Dia tidak akan mengambil bahagian dalam Piala Davis yang akan diadakan di Bologna, Itali dari 18 hingga 23 November.
“Jannik Sinner tidak memberikan kesediaannya untuk tahun 2025,” kata kapten Itali, Filippo Volandri.
“Piala Davis akan sentiasa menjadi rumahnya dan saya yakin Jannik akan kembali menyertai pasukan tidak lama lagi. Dalam masa sama, saya boleh bergantung kepada kumpulan pemain yang bersedia untuk berjuang dan memberikan segalanya demi jersi biru.”
Tanpa Sinner, pasukan Itali terdiri daripada Matteo Berrettini, Simone Bolelli, Flavio Cobolli, Lorenzo Musetti dan Andrea Vavassori.
Pemain nombor satu dunia Carlos Alcaraz, yang memenangi dua lagi kejuaraan Grand Slam tahun ini menjadikan jumlahnya enam pada usia 22 tahun, akan mewakili Sepanyol dengan harapan membawa pulang gelaran Piala Davis pertama negara itu sejak 2019.
Pemain nombor tiga dunia Alexander Zverev juga akan membuat penampilan sulungnya dalam Piala Davis bagi pasukan Jerman yang kali terakhir memenangi kejohanan ini pada 1993. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






