Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Sebanyak 102 buah sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta Bekerja Dari Rumah (BDR) mulai 23 hingga 29 Oktober ini, sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan semalam, langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran keselamatan dan lalu lintas sepanjang tempoh penganjuran sidang berkenaan, selain menjamin kelangsungan pembelajaran murid tidak terjejas.
“Kebenaran pelaksanaan PdPR dan BDR bagi sekolah yang terlibat mengambil kira penutupan jalan dan kawalan keselamatan di sekitar lokasi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47,” jelasnya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan, antara sekolah terlibat termasuk SK Assunta (SATU) Petaling Utama, SK Lembah Subang Petaling Utama, SK (L) Bukit Bintang (1) Petaling Utama, SK Ttdi Jaya Petaling Perdana, SMK Bukit Jelutong Petaling Perdana, SK Cyberjaya Sepang, Sjkc Lai Meng Bangsar/Pudu, SK Jalan Hang Tuah Bangsar/Pudu dan lain-lain seperti jadual di bawah.


KPM menasihatkan ibu bapa, penjaga, murid serta warga sekolah yang terlibat supaya merujuk saluran rasmi sekolah masing-masing untuk maklumat lanjut mengenai pelaksanaan PdPR dan BDR sepanjang tempoh tersebut.
Tambah kementerian itu, pengalaman melaksanakan PdPR dan BDR semasa pandemik COVID-19 serta semasa penganjuran Sidang ASEAN yang diadakan pada Mei lalu dapat memastikan kelangsungan proses pembelajaran dan pada waktu sama aspek kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah terpelihara.
IMedikel TV






