SEPANG: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menzahirkan harapan mahu melihat pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mencipta kemenangan di hadapan penyokong sendiri pada saingan Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu depan.
Memetik laporan Harian Metro, beliau berkata, peluang beraksi sebagai wildcard di laman sendiri bukan sesuatu yang datang selalu dan menjadi detik penting buat Hakim Danish serta peminat sukan permotoran tanah air.
“Bagi saya, memang saya datang dengan harapan nak tengok Hakim menang,” katanya pada sidang media Pengenalan Pasukan dan jentera AEON Credit SIC Racing MSI hari ini.
“Yang lain pun memang ada minat, tetapi bagi saya, untuk menjadi peminat tegar sukan ini, mereka perlu ada ikon untuk disokong. Dalam kes ini, saya nak tengok Hakim di MotoGP dan rakyat Malaysia juga perlu turun memberikan sokongan kepadanya,” katanya lagi.
Hannah turut menyeru rakyat Malaysia agar membeli tiket dan hadir ke SIC bagi menyokong pelumba berusia 18 tahun itu yang membawa cabaran negara dalam kelas Moto3.
“Kita selalu dengar orang minta kerajaan bawa acara bertaraf antarabangsa ke Malaysia. Tapi bila dah ada, rakyat pula tak beli tiket. Jadi saya harap semua rakyat Malaysia turun ke litar dan beri sokongan kepada Hakim Danish. Bukan selalu kita dapat lihat anak tempatan beraksi di pentas dunia,” katanya.
Menurut Hannah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited dalam membantu pembangunan bakat muda dalam sukan pemotoran yang memerlukan perbelanjaan besar.
Beliau menjelaskan, pembiayaan untuk Hakim Danish datang daripada Tabung Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) yang turut membuka peluang kepada pihak swasta menyalurkan sumbangan dan menikmati pengecualian cukai 100 peratus.
“Tahun ini, sebanyak RM2.1 juta diperuntukkan khusus untuk Hakim Danish bagi persiapan saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup dan FIM JuniorGP World Championship.
“Kalau dibandingkan, sukan pemotoran memang mahal, tetapi bukan pembaziran kerana kita sudah nampak hasilnya. Kita ada bakat dan bakat itu sudah naik podium,” katanya.
Hannah menegaskan pelaburan dalam sukan tidak hanya bertujuan meraih kemenangan, tetapi juga sebagai usaha melahirkan belia berdisiplin dan aktif dalam aktiviti sihat.
GP Malaysia akan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober ini dengan Hakim Danish menjadi tumpuan utama peminat tempatan dalam kelas Moto3. – HMetro Online –
IMedikel TV






