Home Hiburan HAQIEM RUSLI GAGAHKAN DIRI JALANI PENGGAMBARAN WALAU DISERANG INFLUENZA A

HAQIEM RUSLI GAGAHKAN DIRI JALANI PENGGAMBARAN WALAU DISERANG INFLUENZA A

379
0

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer popular, Haqiem Rusli, berdepan detik mencabar ketika menjalani penggambaran video muzik lagu terbaharunya berjudul NostalGila apabila diserang demam panas hingga disahkan menghidap Influenza A pada hari penggambaran.

Memetik laporan Berita Harian, meskipun suhu badannya mencecah 39 darjah Celsius, Haqiem atau nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli, tetap menggagahkan diri menyiapkan penggambaran hingga awal pagi bagi menghormati jadual dan komitmen produksi yang sudah diatur rapi.

“Pengalaman penggambaran video muzik kali ini boleh saya katakan antara yang paling mencabar dan ngeri. Ketika hendak bertolak pada awal pagi, saya tiba-tiba diserang demam dan mula rasa sengal-sengal badan.

“Saya fikir tak apalah, tak boleh nak batalkan sebab semua persiapan penggambaran sudah dibuat di lokasi.

“Menjelang sesi petang, badan saya makin lemah. Apabila masuk waktu malam sekitar jam 12, saya memang dah tak tahan. Tapi saya teruskan juga kerana tak mungkin untuk tangguh.

“Kalau tangguh, kos pula yang perlu difikirkan. Jadi saya gagahkan diri habiskan penggambaran sampai kira-kira jam 3 atau 4 pagi,” katanya kepada BH Online.

Tambah Haqiem, keadaannya semakin teruk keesokan hari apabila demam panas yang dialami mencapai tahap membimbangkan sehingga beliau menahan kesakitan sepanjang hari.

“Keesokannya, saya terus demam panas yang sangat teruk. Itu antara demam paling teruk saya pernah alami sampai boleh menangis menahan sakit. Bila ke klinik, doktor sahkan saya menghidap Influenza A.

“Suhu badan saya mencecah 39 darjah Celsius. Isteri pun cakap, bila sentuh badan saya, rasanya macam besi panas. Alhamdulillah, selepas seminggu, keadaan saya semakin baik,” ujarnya.

Lagu NostalGila ialah single terbaharu Haqiem selepas berehat seketika daripada dunia seni bagi memberi tumpuan kepada keluarga.

Lagu itu juga memperlihatkan sisi kematangan penyanyi berusia 27 tahun itu dalam mengekspresikan emosi serta mesej yang lebih mendalam.

Mengulas lanjut, Haqiem mengakui tidak meletakkan harapan tinggi terhadap jumlah tontonan di YouTube atau platform penstriman digital memandangkan NostalGila bukan karya ringan yang mudah dihadam khalayak massa.

“Untuk lagu ini, saya memang tidak mensasarkan jumlah tontonan berjuta-juta kerana sedar karya ini agak berat untuk diterima pendengar arus perdana.

“Tajuknya sendiri, NostalGila, sudah memberi gambaran bahawa lagu ini sarat dengan kiasan dan bahasa puitis. Jadi, sasaran utama kami bukan kepada tontonan atau populariti, tetapi kepada pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) atau Anugerah Industri Muzik (AIM),” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Haqiem mendedahkan bakal tampil dengan projek duet bersama penyanyi legenda, Zamani daripada kumpulan Slam, menerusi sebuah lagu baharu yang kini berada di peringkat akhir rakaman.

Tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan komposer luar negara pada masa depan, Haqiem melihat trend kolaborasi antara artis Malaysia dan Indonesia sebagai perkembangan sihat yang membuka ruang lebih luas buat bakat tempatan.

“Saya lihat trend artis Malaysia berkolaborasi dengan komposer Indonesia seperti Aina Abdul dan Ernie Zakri sangat bagus kerana ia membuka peluang memperluas rangkaian dan pengetahuan muzik.

“Saya juga pernah terfikir untuk mencuba perkara sama. Selama ini saya banyak menulis lagu sendiri, jadi tidak salah kalau saya berkolaborasi dengan komposer luar. Kalau ada rezeki, insya-Allah saya akan usahakan,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here