Home Sukan DENMARK KEKAL REKOD TANPA KALAH, CERAH PELUANG KE PIALA DUNIA

DENMARK KEKAL REKOD TANPA KALAH, CERAH PELUANG KE PIALA DUNIA

294
0

COPENHAGEN: Denmark menewaskan Greece 3-1 di tempat sendiri, awal pagi tadi untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen kelayakan Piala Dunia mereka serta menamatkan harapan pasukan pelawat untuk mara ke kejohanan tahun depan.

Memetik laporan Reuters, menerusi Harian Metro, ia menyaksikan perebutan takhta Kumpulan C dijangka berlarutan hingga ke perlawanan terakhir.

Ketika berbaki dua lagi perlawanan, Denmark mendahului carta dengan 10 mata, di hadapan Scotland menerusi perbezaan jaringan.

Kedua-dua pasukan itu akan bertemu dalam perlawanan terakhir bulan depan apabila juara kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir kejohanan, manakala naib juara akan beraksi dalam pusingan play-off.

Denmark dan Scotland sudah pasti sekurang-kurangnya memperoleh tempat play-off, namun Greece yang berada di tangga ketiga dengan tiga mata tidak lagi mempunyai harapan untuk mara.

“Secara keseluruhan, saya rasa kami tidak bermain pada tahap terbaik hari ini,” kata pemain tengah Denmark, Morten Hjulmand.

“(Kemenangan ini) perkara paling penting kerana ia mengenai tiga mata. Kadang-kadang kita tidak mencapai tahap tertinggi, saya rasa kami tidak melakukannya hari ini, tetapi kami menang 3-1 menentang pasukan yang kuat.”

Greece menguasai permainan pada awal babak pertama, namun pada minit ke-21, Rasmus Hojlund memanfaatkan kesilapan besar pemain tengah Greece, Christos Zafeiris, yang cuba melakukan hantaran ke belakang kepada penjaga gol, tetapi bola terlalu perlahan, membolehkan penyerang Napoli itu menjaringkan gol mudah.

Joachim Andersen menggandakan kelebihan Denmark dengan tandukan hasil sepakan penjuru Mikkel Damsgaard pada minit ke-40, dan seminit kemudian, satu lagi kesilapan pertahanan Greece membolehkan Damsgaard menjaringkan gol ketiga ke gawang terbuka.

Denmark memperlahankan tempo selepas rehat dan Greece merapatkan jurang pada minit ke-63 apabila Christos Tzolis melepaskan rembatan kencang melepasi penjaga gol, Kasper Schmeichel menerusi satu serangan balas dan ia adalah gol pertama yang dilepaskan Denmark dalam kempen kelayakan ini.

Walaupun hampir menambah gol kedua, Greece gagal menembusi benteng pertahanan tuan rumah, dengan Schmeichel melakukan aksi cemerlang menafikan percubaan pemain gantian, Giannis Konstantelias sebelum Andersen menyelamatkan bola rembatan Pavlidis di atas garisan gol. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here