Home Hiburan SENIMAN SAMBUT BAIK PERUNTUKAN RM140 JUTA INDUSTRI KREATIF

SENIMAN SAMBUT BAIK PERUNTUKAN RM140 JUTA INDUSTRI KREATIF

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM140 juta untuk industri kreatif pada Belanjawan 2026 mampu memberi impak memberangsangkan berikutan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi membolehkan sektor berkenaan berkembang pesat.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Zed Zaidi, berkata tumpuan terhadap industri animasi dan digital juga mampu menarik ramai belia untuk terbabit dalam industri seni.

“Peruntukan itu sangat baik untuk industri kreatif dan semua insentif merangsang peluang pekerjaan lebih banyak. Ia memberi impak kerana membabitkan konsert, teknikal, kandungan filem kenegaraan dan kru belakang tabir.

“Apabila menumpukan animasi, ia memperlihat perubahan teknologi ketara, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri menambahbaik pembikinan kreatif. Apabila ada rangsangan digital dan animasi, anak-anak muda khususnya akan membabitkan diri.

“Bidang animasi memberi galakan kepada belia dan berkeupayaan mencipta legasi terhadap industri kreatif ini,” katanya mengulas mengenai Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Zed Zaidi berkata, sebagai wakil persatuan industri kreatif khususnya SENIMAM, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana tidak melupakan sumbangan industri kreatif tempatan.

Pada masa sama, Zef berharap peruntukan untuk badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan persatuan seperti KARYAWAN dan SENIMAN dapat disediakan lagi pada masa depan.

“Hasrat saya agar ada peruntukan kebajikan dan NGO yang lebih bermakna dalam industri kreatif. Seperti sebelum ini, ada belanjawan sediakan RM6 juta kepada NGO yang berdaftar dengan SENIMAN dan KARYAWAN.

“Peruntukan begini yang kami nantikan juga agar lebih merangsang ekonomi industri kreatif. Diharap pada masa akan datang diteruskan belanjawan untuk NGO dan sudut kebajikan,” katanya.

Peruntukan RM140 juta itu merangkumi RM110 juta insentif galakan kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa menghasilkan karya berkualiti tinggi termasuk RM10 juta khusus kepada penerbitan kandungan kenegaraan.

Insentif RM10 juta bagi penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa di Malaysia bagi menarik pelancong asing bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Kerajaan turut menyediakan RM20 juta untuk menyokong ekosistem Kreatif Digital khususnya penggiat kreatif animasi dan permainan digital tempatan.

Bagi menggalakkan usaha penggiat kreatif animasi tempatan, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran perolehan kepada semua kementerian dan jabatan untuk memperoleh produk cenderahati dan kandungan digital. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here