Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU:Panas terik mentari dan kesesakan lalulintas bukan penghalang buat ribuan rakyat Kelantan membanjiri Lembah Sireh, pada Jumaat semata-mata mahu menyaksikan detik bersejarah 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza menyusuri Sungai Kelantan.
Tinjauan kru IMedikel TV seawal jam 3.30 petang mendapati kawasan sekitar sudah mula dipenuhi orang ramai.
Ada yang datang sekeluarga, ada yang berserban, malah ada yang memakai baju hijau, putih, merah dan hitam iaitu warna bendera perjuangan Palestin.
Di tangan mereka berkibar megah bendera kecil dan besar Palestin, mafla dililit di leher, diikat dikepala dan bahu bahkan ada anak kecil menjerit riang setiap kali bot yang dihiasi panji Palestin melintasi tebing sungai.
Wan Hairu Iruewan Sah Wan Zulkefli, 42, dari Pasir Mas berkata dia menempuh kesesakan lalu lintas kira-kira dua jam bersama empat keluarga dengan lima kereta demi menyatakan tanda solidariti kepada rakyat Palestin di Gaza.

“Saya sampai kira-kira 4.30 petang, kesesakan lalu lintas teruk, namun rakyat Kelantan memang hebat, dari Pasir Mas biasa ambil masa 30 minit, tetapi hari ini ambil masa dua jam.
“Namun semangat untuk Palestin, kita hendak pergi ke sana tidak mampu, tetapi kita hanya mampu untuk berhimpun,”katanya ketika ditemui, di sini, pada Jumaat.
Beliau yang berbaju tshirt Palestin dengan lilitan mafla dikepala, berkata sokongan rakyat Kelantan demi Palestin boleh dilihat secara jelas apabila ribuan pengunjung datang untuk menyaksikan 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza.
“Kalau boleh tengok memang penuh termasuk atas jambatan, sungai dan di darat. Jadi kita boleh menyokong Palestin dengan berhimpun dan sumbangan.
“Untuk pergi ke sana mungkin tidak mampu lagi. InsyaAllah kalau ada rezeki kita akan pergi ke sana.
“Buat saudara kita di Gaza, semoga tabah menghadapi ujian, insyaAllah keadilan buat Palestin, takbir!
Bagi Nur Iffah Zahra Mohd Hasrul Izuan, 14, dari Ketereh, beliau bersama keluarga datang seawal jam 4.00 petang bagi menyaksikan sendiri pelayaran bot tanda solidariti Palestin.
Ketika ditemui kru IMedikel TV, Nur Iffah Zahra agak pemalu namun tetap bersemangat apabila menyebut Palestin.

“Saya bangga sebagai rakyat Kelantan kerana dapat turun menyaksikan sendiri bot belayar untuk sokong Palestin.
“Hari ini saya datang bersama keluarga termasuk ibu, ayah dan tiga lagi adik saya. Saya akan datang lagi jika ada program begini untuk menyokong Palestin,”katanya.
Sementara itu, Nik Suriyani Salleh, 52, mengaspirasikan pakaian hijau dan berserban dikepala tanda sokongan dan cintakan rakyat Palestin di Gaza.
Beliau sangat bersemangat apabila ditemuramah kru IMedikel TV, dan semangat itu juga menyatakan seorang wanita juga sanggup berjuang demi Palestin.
Tambahnya yang membuatkan beliau hadir ke program itu kerana tersentuh dengan semangat juang aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini.

“Hari ini saya datang untuk melihat suasana dan merasai sendiri semangat untuk orang ramai bersolidartiti demi untuk Palestin sebab kita tidak mampu untuk ke sana.
“Saya sangat terharu dengan sambutan hari ini, memang sangat tidak sangka, saya pun tidak biasa dengan orang ramai dan berhimpun serta bersesak kerana ini pertama kali saya datang ke tempat begini.
“Saya tersentuh yang GSF itu, jadi saya bersemangat untuk hadir hari ini untuk menyaksikan pelayaran bot ini.
“Semoga mereka tabah dengan apa yang terjadi, semoga ada sinar dikemudian hari,”katanya.
Manakala bagi Wan Muhd Najib Wan Husin, 34, dari Kota Bharu walaupun keletihan namun tetap bersemangat untuk menyaksikan pelayaran bot tanda solidariti Gaza.

“Hari ini saya datang ke perhimpunan beramai-ramai untuk menyaksikan perarakan bot di atas air. Saya datang selepas Asar, walaupun ada kesesakan tetapi tetap bersemangat.
“Perasaan saya sangat terharu walau letih tetapi dengan semangat yang ada tetap juga hendak datang untuk melihat suasana orang ramai demi sokongan dan jihad kita kepada saudara kita di sana.
“Kita tidak mampu ke sana tetapi inilah sedikit sebanyak usaha dan jihad kita. Semoga semua rakyat Malaysia terus berjihad dan sokong rakyat palestin dengan menghantar bantuan dan sumbangan,”katanya.
Program yang disertai 790 bot itu bukan sekadar simbolik, tetapi menjadi lambang solidariti rakyat Kelantan terhadap penderitaan di bumi Gaza.
Dari deruan enjin bot hingga ke gema takbir di tebing sungai, suasana Lembah Sireh pada Jumaat membuktikan satu hakikat besar yang perlu diterima bahawa sokongan terhadap Palestin bukan sekadar slogan, tetapi sudah berakar dalam jiwa rakyat Kelantan.
IMedikel TV






